mutakhir

APMM hero lapan nelayan terkandas

Oleh myMetro

Pasir Puteh: Tujuh anggota Bot Penyelamat 7 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dianggap sebagai hero susulan berjaya menyelamatkan lapan pemancing dan seorang tekong serta dua pembantu yang terkandas di lautan selama lebih 48 jam.

Mereka terkandas akibat enjin bot kelas A bernombor pendaftaran TFA 1382 rosak pada Sabtu lalu selepas keluar dari lokasi memancing di pelantar minyak Lawit, kira-kira 64 batu nautika dari Pantai Kemasin.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 10 Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat radio komunikasi nelayan dari bot itu menyebut lokasi mereka berada pada jam 6.50 petang kelmarin sebelum Bot Penyelamat 7 dikerah ke lokasi.

“Bot itu sudah bersauh di kawasan kira-kira 30 batu nautika dari timur laut Pantai Kemasin, Bachok ketika ditemui pada jam 10.40 malam. Ketika itu, laut bergelora teruk.

“Selepas perbincangan dibuat, lapan pemancing berpindah ke Bot Penyelamat 7 pada jam 11.05 malam manakala tekong dan dua pembantunya menunggu di bot yang rosak sehingga ditunda dengan bantuan nelayan Pantai Geting,” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2016 @ 10:08am
d