mutakhir

Jenayah pelajar sekolah menurun

Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Perlakuan jenayah membabitkan pelajar sekolah sekitar daerah ini menunjukkan penurunan apabila hanya 58 kes direkodkan dalam tempoh enam tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, berdasarkan statistik, kes jenayah seperti pergaduhan, cabul dan gengsterisme membabitkan pelajar dikategorikan sebagai terpencil serta didapati menurun setiap tahun.

“Sebanyak 31 kes dicatatkan pada 2010 dan menurun kepada 19 tahun berikutnya manakala pada 2012 hanya tujuh kes direkodkan selain satu kes pada 2013.

“Tiada kes jenayah dilaporkan membabitkan pelajar sekolah pada 2014 dan tahun lalu,” katanya selepas menghadiri Hari Kor Kadet Polis ke-46 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Chandra berkata, angka itu menunjukkan penurunan memberangsangkan apabila hanya 58 kes direkodkan setakat ini.

“Penurunan ini hasil kerjasama semua pihak terutama pengurusan sekolah dan pegawai perhubungan polis di setiap sekolah sekitar daerah ini bagi memantau tahap disiplin dalam kalangan pelajar,” katanya.

Menurut Chandra, pihaknya turut menganjurkan pelbagai program mencegah jenayah seperti kepolisian komuniti, ceramah dan kempen kesedaran.

Disiarkan pada: April 1, 2016 @ 10:06am
d