mutakhir

Serah pada kerajaan

Oleh Nursyahirah Marzuki

Putrajaya: Sama ada boleh dilaksanakan atau sebaliknya, itu terserah kepada kerajaan.

Itu maklum balas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berhubung perkhidmatan teksi melalui aplikasi telefon pintar seperti Uber dan Grab yang kini dibantah pemandu teksi.

Ismail berkata, JPJ menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan berhubung perkhidmatan ini dan buat masa sekarang tiada sebarang polisi ditetapkan bagi membolehkan tindakan dikenakan terhadap pengusaha Uber serta Grab.

Katanya, kerajaan sedang mengkaji mengenai perkhidmatan itu dan sebarang keputusan yang akan dimaklumkan kelak mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Kami menerima banyak aduan daripada pengusaha teksi namun sehingga kini kami tidak mempunyai dasar dan polisi yang ditetapkan untuk mengambil tindakan kepada mereka yang menyediakan perkhidmatan Uber dan Grabcar.

“Apabila kerajaan mengumumkan keputusan nanti, kami akan mengambil tindakan selaras dengan keputusan yang ditentukan kerajaan kerana ia membabitkan pengusaha teksi, pengguna dan mereka yang menyediakan perkhidmatan Uber dan Grab,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari JPJ ke 70 di sini, semalam.

Terdahulu, Ismail melancarkan logo Sambutan Hari JPJ ke-70 serta Buku Panduan Pengubahsuaian dan Penjagaan Kenderaan yang akan diedarkan kepada masyarakat tidak lama lagi.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipetik berkata, kerajaan akan menggariskan satu penyelesaian yang adil dan saksama dalam menangani isu berkenaan.

Najib dilaporkan berkata, beliau faham dan prihatin terhadap masalah dan rungutan dalam kalangan pemandu teksi disebabkan pengguna perkhidmatan pemandu kereta Uber dan Grab di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.

Selasa lalu sekumpulan pemandu teksi di Bukit Bintang, Kuala Lumpur mengadakan mogok bagi membantah perkhidmatan Grabdan Uber.

Disiarkan pada: April 2, 2016 @ 5:07am
d