mutakhir

Tambah ahli pasukan

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Operasi mencari dan menyelamat seorang warga emas yang hilang di Hutan Lipur Gunung Berlumut, di sini, sejak Ahad lalu ditambah kepada 176 orang membabitkan anggota Multi Skill Team (MUST) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Akob Sedek berkata, kedua-dua pasukan terbabit yang mempunyai kemahiran pergerakan di dalam hutan diharapkan dapat membantu menyelesaikan kes kehilangan Taib Sarip, 65, peneroka dari FELDA Ulu Dengar yang berlanjutan selama lima hari sehingga semalam.

Katanya, dengan penambahan bilangan anggota pasukan mencari dan menyelamat itu, kawasan pencarian seluas lebih 60 hektar sehingga kelmarin akan diulang semula, namun kali ini membabitkan penggeledahan di dalam kawasan bersemak dan rimbunan pokok.

“Sehingga tengah hari tadi (semalam), masih belum ada berita yang diterima dan keadaan ini menimbulkan keresahan bukan sahaja kepada ahli keluarga mangsa, malah kumpulan yang terbabit dalam tugas pencarian.

“Keadaan ini menimbulkan banyak persoalan kerana jika mengikut keterangan anak mangsa, warga emas terbabit tidak boleh bergerak jauh akibat mengalami sakit kaki selain tidak membawa sebarang bekalan makanan mahupun peralatan seperti parang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akob berkata, pihaknya yang berkampung di kawasan hutan lipur itu sejak Isnin lalu berharap dapat menemui Taib dalam keadaan selamat.

Warga emas berkenaan hilang selepas dipercayai sesat ketika mencari barang lusuh di Gunung Berlumut, Ahad lalu.

Disiarkan pada: April 2, 2016 @ 5:09am
d