mutakhir

Fenomena Ejen Ali

Oleh Michelle Gun

Kuala Lumpur: Walaupun belum ditayangkan di TV, siri animasi baru Ejen Ali sudah mendapat sambutan apabila aplikasi permainan telefon pintar animasi itu dimuat turun lebih 46,000 kali sejak tahun lalu.

Siri animasi itu mengisahkan pembabitan seorang kanak-kanak dalam dunia risikan dan akan ditayangkan di TV3 pada 8 April ini, setiap Jumaat jam 5 petang.

Siri 13 episod itu turut menjadi animasi pertama sebagai hak intelek Media Prima Berhad (MPB) dan diterbitkan secara usahasama dengan WAU Animation.

Menceritakan pembikinan Ejen Ali, pengarah dan penulis skripnya Usamah Zaid berkata, idea menghasilkan animasi itu datang selepas menubuhkan WAU Animation pada 2013.

“Kisah perisik menyelesaikan kes pasti menarik perhatian penonton dan animasi ini turut menyuntik elemen jenaka,” katanya.

Usamah yang juga Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation mengakui bukan mudah mendapatkan ilham untuk menghasilkan jalan cerita Ali dan perlu mencari pelbagai sumber rujukan.

“Bagi mencari idea menulis skrip, saya dan pasukan menonton filem, siri kartun dan novel berkaitan risikan,” katanya.

Menurut Usamah, pembikinan Ejen Ali mengambil masa dua tahun sebelum kerja produksi bermula pada Julai tahun lalu.

“Pada mulanya, kami melakukan pembangunan animasi secara sambilan, namun Julai lalu, kami fokus sepenuhnya pada Ejen Ali,” katanya.

Menjelaskan mengenai pemilihan tajuk animasi itu, Usamah berkata nama Ali ringkas dan banyak digunakan dalam buku teks sekolah.

“Memang pening juga mencari nama mudah untuk karakter animasi ini. Akhirnya, Ali dipilih untuk watak utama animasi berkenaan.

“Saya berharap Ejen Ali dapat menjadi hero bagi kanak-kanak sambil menerapkan pengajaran serta nilai murni menerusi misi yang mengujakan,” katanya,

Antara barisan pelakon meminjam suara mereka untuk animasi Ejen Ali adalah Ida Rahayu Yusoff (Ali dan Comot), Shafiq Isa (Bakar), Azman Zulkiply (Victor, General Rama dan Ejen Rizwan) dan Noorhayati Maslini Omar (Alicia).

Sementara itu, siri kedua aplikasi permainan Ejen Ali dengan peringkat lebih ‘advance’ dijangka disiapkan pada September tahun ini.

Siri pertama aplikasi permainan itu dibangunkan sekumpulan pelajar yang menggelarkan diri sebagai M8 dan mereka terpilih menerusi pertandingan anjuran Media Prima Labs iaitu Ejen Ali Game atau Hackathon.

Disiarkan pada: April 2, 2016 @ 5:11am
d