mutakhir

Bahang terasa

Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Bahang panas di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam, dekat sini, semalam menghangatkan lagi suasana dan persiapan Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt.

Kru bertugas sibuk melakukan persiapan terakhir bagi memastikan penganjuran konsert serta karnival berlangsung sempurna.

Orang ramai turut mendekati kawasan program untuk melihat sendiri persiapan yang dilakukan.

Pengunjung, Murniyantie Musa, 27, berkata, dia teruja menyaksikan konsert yang menampilkan pelbagai artis tanah air seterusnya berhibur bersama keluarga.

“Saya tertunggu-tunggu konsert kerana melalui iklan yang saya baca, lebih 10 artis membuat persembahan.

“Selain itu, pelbagai acara menarik diadakan untuk pengunjung dan saya bercadang membawa keluarga datang ke sini esok (hari ini) untuk menyaksikan konsert seterusnya menyertai pelbagai program yang disediakan,” katanya ditemui di sini semalam.

Murniyantie menetap di Seksyen 32, dekat sini, berkata, dia mengikuti perkembangan konsert sempena ulang tahun ke-25 Harian Metro melalui akhbar ini.

“Saya gembira kerana konsert ini diadakan di sini (Setia Alam),” katanya.

Nursyamimi Saidi, 25, berkata, dia tidak sabar menemui artis kesukaannya terutama Amy Search dan Datuk Jamal Abdillah.

“Selain dapat bertemu artis pujaan, ia juga mendekatkan pembaca dengan akhbar ini,” katanya.

Selain Jamal Abdillah dan Amy Search, konsert malam ini menampilkan Ella, Dayang Nurfaizah, Ezad Lazim, Drama Band, Ronie Husin, Tasha Mansahar & Syed, Shamim, Shiha Mentor, Ayda Jebat, Siti Nordiana, XPDC serta kumpulan dari Indonesia, Papinka.

Disiarkan pada: April 2, 2016 @ 5:40am
d