mutakhir

Rezeki sampah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Tumpat: Panas terik tidak menghalang empat beranak mencari rezeki mengutip barangan terbuang sebelum dijual.

Malah, Hod Hamat, 60, menolak isterinya, Mariam Hamid, 53, yang duduk di dalam kereta roda diubah suai yang turut dipenuhi barang kitar semula.

Mariam tidak mampu berjalan jauh sejak enam bulan lalu berikutan patah kaki selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengutip barang terbuang.

Mereka berempat termasuk anak kedua dan ketiga iaitu Rosmina, 24, dan Rosdi, 22, akan keluar dari rumah mereka di Kampung Geting pada jam 9 pagi menuju ke bandar Tumpat dan Pantai Seri Tujuh sejauh 15 kilometer perjalanan untuk mengutip barang terbuang.

Rosmina akan menolak kereta sorong dipenuhi barang dicari manakala Rosdi menarik kereta beroda untuk meringankan beban ayahnya.

Sepanjang perjalanan, mereka akan mencari barang terpakai termasuk plastik, kaca dan besi buruk sebelum dijual dan mampu memperoleh RM30 sehari.

Hasil jualan itu akan mereka gunakan untuk membeli barang keperluan harian termasuk makanan dan minuman.

Anak keempat dan kelima iaitu Atikah, 18, dan Salsabila, 11, tidak ikut sama mencari barang terbuang kerana perlu menjaga rumah.

Anak sulung mereka, Rosdi, 32, kini tinggal di Kuala Lumpur dan bekerja kilang.

Hod berkata, walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 sebulan iaitu RM200 bagi seorang anak yang dikategori lembam, namun mereka tidak menggunakan wang itu kerana hasil jualan harian barang yang dikutip sudah mencukupi untuk menampung kehidupan harian.

“Wang bantuan itu disimpan untuk persediaan masa depan dan tidak akan mengeluarkannya kerana pendapatan harian sudah cukup untuk membeli keperluan kami.

“Kami suka kerja begini kerana ia dapat menghilangkan bosan, selain menambah pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui di Pantai Seri Tujuh, di sini, semalam.

Hod berkata, selain mencari barang terbuang, mereka juga mengambil upah mencuci rumah penduduk kampung dengan upah RM30 sehari.

Sementara itu, Mariam berkata, walaupun tidak mampu berjalan jauh, namun dia turut mengikut suami dan anak-anaknya mencari barang terbuang.

“Saya mahu melihat mereka dan memastikan semua selamat. Saya trauma dengan kemalangan yang berlaku dan tidak mahu ia berulang terhadap suami dan anak.

“Kami akan melakukan semua kerja bersama sehingga akhir hayat,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2016 @ 6:04am
d