mutakhir

Satu hati bertugas

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disaran terus mempamerkan imej positif bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan pertahanan itu.

Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, justeru semua pegawai dan anggotanya perlu bersatu hati dalam melaksanakan tugas ketika menghadapi sebarang situasi.

Katanya, setiap warga kerja TLDM perlu menyedari dan memahami tugas penting mereka menjaga kedaulatan dan keamanan negara dalam menangani pelbagai ancaman seperti aktiviti lanun dan pencerobohan nelayan asing.

“Dari aspek masyarakat pula, TLDM hendaklah sentiasa mempamerkan imej positif dan menerapkan nilai murni dengan membantu mereka bukan sahaja di laut tetapi juga di darat seperti mana ketika menghadapi bencana banjir baru-baru ini.

“Ia dapat meningkatkan hubungan silaturrahim antara TLDM dan masyarakat sekali gus menjadikan mereka mata serta telinga TLDM untuk menyalurkan maklumat penting demi menjaga keselamatan negara,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA) di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, di sini, semalam.

Ahmad Kamarulzaman berkata, kekangan aset dihadapi TLDM buat masa ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mereka mengabaikan tugas diberikan sebaliknya ia adalah satu cabaran perlu dilalui mereka.

“Kita sudah ada pelan Transformasi 15-kepada-5 Armada TLDM bagi menangani kekangan aset dan menjadikan kos operasi lebih efektif dengan memiliki kapal yang lebih berkeupayaan pada masa hadapan.

“Secara prinsip, pelan ini sudah disokong oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2016 @ 5:14am
d