mutakhir

RM200,000 melayang disamun lima lelaki bertopeng

Oleh myMetro

Manjung: Seorang pemilik kedai emas kerugian hampir RM200,000 selepas kedainya dirompak sekumpulan lelaki bertopeng dalam kejadian di Ayer Tawar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.10 petang, lima lelaki bertopeng itu dipercayai bersenjata pistol dan menaiki kereta Proton Waja berwarna kelabu.

Pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian hanya dua pekerja wanita dan tiada pelanggan di dalam kedai ketika itu.

Menurutnya, empat lelaki masuk ke kedai sebelum seorang daripada mereka menunggu di hadapan kedai dengan memegang pistol manakala seorang lagi menunggu dalam kereta.

“Dua daripada tiga perompak di dalam kedai mengacukan pistol kepada pekerja dan seorang daripada mereka memecahkan cermin meja barang kemas menggunakan tukul.

“Mereka (perompak) mengambil rantai leher dan gelang emas sebelum melarikan diri dan kejadian berlaku dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah mengesahkan kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat memaklumkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: April 3, 2016 @ 5:40am
d