mutakhir

Trek pamer aksi

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Sekumpulan ‘mat rempit’ dikesan seringkali menjadikan laluan Lebuhraya Ekspress Shah Alam (KESAS) sebagai trek lumba haram bagi mempamerkan aksi berbahaya masing-masing.

Bagaimanapun lagak ngeri kumpulan itu berakhir apabila digempur secara besar-besaran oleh sepasukan anggota dan pegawai polis dari Jabatan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor Deputi Superintendan Azmi Mansor berkata, Ops Samseng Jalanan bermula kira-kira jam 11 malam kelmarin disertai seramai 12 pegawai dan 132 anggota trafik IPK dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari setiap daerah di negeri ini.

Menurutnya, lokasi itu dilaporkan dijadikan trek berlumba selain turut merekodkan beberapa kemalangan maut akibat kegiatan haram berkenaan.

“Ketika serbuan, ada di antara mereka melarikan diri sehingga sanggup menunggang motosikal melawan arus.

“Bagaimanapun, kecekapan anggota dan pegawai kita berjaya memastikan semua ‘mat rempit’ yang terbabit dalam perlumbaan haram itu tidak meloloskan diri daripada dikenakan tindakan,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya mengeluarkan sejumlah 148 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya selain turut menyita 101 motosikal serta sebuah kereta dalam operasi berakhir kira-kira jam 4 pagi itu.

“Polis juga menahan dua individu dipercayai menggunakan lesen memandu palsu serta menunggang di bawah pengaruh alkohol.

“Mereka yang ditangkap itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Azmi turut menegaskan pihaknya akan sentiasa melakukan operasi dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa di laluan berkenaan.

“Ibu bapa juga dinasihatkan sentiasa memantau kegiatan anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2016 @ 5:01am
d