mutakhir

Meriah tangkap ikan

Oleh D J Dolasoh

Pengkalan Hulu: Kira-kira 3,000 penduduk menyertai Pesta Gagau untuk menangkap pelbagai spesies ikan dan udang selain merebut hadiah disediakan penganjur di Tasek Takong, di sini, kelmarin.

Pesta yang berlangsung empat tahun sekali itu bermula jam 9 pagi dan berakhir 12 tengah hari anjuran bersama Pejabat Daerah Pengkalan Hulu dan Majlis Daerah Pengkalan Hulu dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim. Pesta itu dibanjiri orang ramai yang datang awal selepas Subuh.

Mereka bukan saja datang dari sekitar Pengkalan Hulu, tetapi dari Baling dan Sungai Petani, Kedah, Gerik dan Selatan Thailand yang turut disertai kaum Siam dan Cina selain Melayu.

Program dirasmikan Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman.

Jurucakap penganjur, Rosli Talib berkata, pesta kali ini paling ramai penyertaan termasuk wanita dan kanak-kanak bagi menangkap pelbagai spesies ikan di tasik itu.

“Empat tahun lalu penyertaan kurang 2,000 orang saja, tetapi kali ini meningkat ketara mungkin disebabkan musim kemarau panjang dan ramai mahu membasahkan badan dalam tasik selain mahu memperoleh ikan secara percuma.

“Antara spesies ikan yang ditangkap ialah talapia, sebarau, lampam, haruan, lekoh, jelawat dan udang galah yang dilepaskan Pejabat Perikanan Daerah Gerik sejak empat tahun lalu,” katanya.

Rosli berkata, selain menggunakan tangan, peserta membawa pelbagai alat untuk menangkap ikan antaranya serkap, jaring, jala, penyauk, baldi dan raga bagi mengambil ikan yang kebanyakannya bersembunyi di dalam lumpur akibat air cetek.

Menurutnya, Tasek Takong seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu kering akibat fenomena El-Nino selain empangan di tasik itu turut dibuka bagi memudahkan orang ramai mendapatkan ikan kerana air kering.

Katanya, ada peserta mendapat sehingga lebih 10 kilogram ikan yang digagau dari Tasek Takong itu, tetapi lima pemenang dipilih berdasarkan ikan paling berat.

“Peserta yang mendapat ikan spesies lekoh seberat 4.25 kilogram diumumkan johan mendapat hadiah hamper selain seorang lagi memperoleh seekor udang seberat setengah kilogram,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2016 @ 5:07am
d