mutakhir

Terkandas di bakau

Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Cubaan empat individu menyeludup 4,000 karton rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM600,000 gagal apabila bot gentian kaca dinaiki terkandas di kawasan bakau ketika melarikan diri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di muara Sungai Buaya di sini, jam 3.45 pagi semalam.

Hasilnya, APMM Batu Pahat merampas barangan termasuk rokok, bot dan enjin berjumlah keseluruhan hampir RM1 juta.

Pengarah APMM Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pihaknya mengesan dua bot terbabit dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba dipintas.

“Unit peronda membabitkan enam anggota itu kemudiannya mengejar kedua-dua bot terbabit.

“Mereka melarikan diri sejauh tiga batu nautika sebelum satu daripadanya terkandas di kawasan bakau. Kami mendekati bot terbabit sebelum empat individu terjun ke laut lalu melarikan diri ke kawasan bakau berhampiran,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan ke atas bot terbabit menemui rokok keretek pelbagai jenama termasuk Gudang Garam Surya dan Minna.

Beliau berkata, bot pancung terbabit menggunakan tiga enjin Yamaha 200 kuasa kuda.

“Ini julung kalinya APMM mengesan bot pancung menggunakan tiga enjin. Ia mungkin untuk memudahkan mereka meloloskan diri.

“Rampasan rokok ini adalah yang terbesar hingga April ini dan kejayaan kelima di perairan Batu Pahat sejak Januari lalu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: April 5, 2016 @ 9:25am
d