mutakhir

Doa kami untukmu Nur Alisha

Oleh Redzuan Muharam

Johor Bahru: Nurul Syuhadah Shahidan, 30, sentiasa berdoa supaya anak tunggalnya, Nur Alisha Safiyyah Muhammad Alif yang berusia dua tahun tiga bulan dan menghidap barah mata kembali pulih walaupun peluang itu samar.

Nur Alisha Safiyyah disahkan menghidap barah mata atau Retinablastoma pada Oktober 2014 selepas menjalani pemeriksaan di hospital pakar di bandar raya ini.

Nurul Syuhadah yang bekerja sebagai perunding insurans berkata, ketika itu, doktor mengesyorkan supaya mata yang rosak itu diganti dengan mata tiruan namun dia dan suami, Muhammad Alif Abdul Manan, 30, tidak bersetuju kerana mahu berikhtiar dengan mendapatkan rawatan alternatif.

“Saya menyedari sesuatu tidak kena pada mata Nur Alisha Safiyyah ketika dia berumur 10 bulan dan membawanya bertemu dengan pakar mata di Larkin sebelum dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Selepas dimaklumkan mengenai penyakit dihadapinya, saya berbincang dengan suami serta ahli keluarga dan mereka mencadangkan kami mencuba rawatan alternatif.

Pelbagai rawatan moden dan perubatan Islam dicuba, pengambilan makanan tambahan berasaskan organik selama 10 bulan dan homeopati yang menelan belanja RM40,000 namun semuanya tidak berhasil sebaliknya kedua-dua mata Nur Alisha Safiyyah kini semakin membengkak.

Nur Alisha Safiyyah tahu mengenai keadaan dirinya dan akan ke luar rumah dengan memakai cermin mata hitam kerana malu berdepan dengan orang ramai.

Jika saya bawanya ke kedai, dia akan tunduk kerana malu ditegur kanak-kanak lain.

Saya kasihan dengan keadaannya. Kini, kami berusaha mencari dana bagi menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM200,000.

Nur Alisha Safiyyah baru selesai menjalani rawatan kemoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur dan kini hanya berehat di rumah sementara menunggu sesi berikutnya pada 20 April ini.

Buat masa ini, doktor tidak membekalkan ubat kecuali cecair mata yang berfungsi memberi kelegaan pada matanya memandangkan ia mudah kering.

Sejak pulang dari hospital, Nur Alisha Safiyyah lebih banyak berehat di bilik daripada bermain dan ia mungkin kerana letih akibat rawatan kemoterapi.

Menurut doktor, Nur Alisha Safiyyah perlu menjalani sembilan sesi kemoterapi, namun tidak memberi harapan tinggi dan jaminan matanya akan mengecut semula.

Apa pun, kami akan berusaha mencari dana bagi membolehkannya menjalani pembedahan segera yang kemungkinannya dijalankan di China.

Wang terkumpul setakat ini ialah RM20,000, ia sumbangan keluarga, saudara-mara dan orang ramai selepas kisah Nur Alisha Safiyyah tersiar di laman sosial.

Selebihnya, kami serahkan kepada Allah SWT dan hampir setiap malam saya dan suami melakukan solat hajat serta tahajud memohon supaya penyakitnya sembuh”.

Nurul Syuhadah ditemui di rumah ibu saudaranya di Jalan Padi Ria 3, Bandar Baru Uda di sini dan bagi memberi penjagaan sepenuhnya kepada Nur Alisha Safiyyah selepas menjalani kemoterapi, wanita berkenaan mengambil cuti tanpa gaji sejak tiga bulan lalu.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan sumbangan kepada suaminya, Muhammad Alif Abdul Manan menerusi akaun Maybank 501208618617.

Disiarkan pada: April 5, 2016 @ 9:43am
d