mutakhir

Lambaian Pulau Krismas

Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: Sejak negara merdeka sehingga kini, kira-kira 500 rakyat Malaysia melepaskan kerakyatan untuk menetap di Australia Barat termasuk Perth, Pulau Cocos dan Pulau Krismas.

Keputusan itu didorong oleh peluang pekerjaan dengan pendapatan lumayan ditawarkan di negara terbabit membuatkan mereka lebih selesa berhijrah khasnya ke Pulau Krismas.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmim berkata, sehingga kini, kira-kira 3,000 masyarakat Melayu berasal dari Malaysia menetap di Pulau Krismas.

Menurut beliau, kebanyakan mereka bekerja sebagai pencari mutiara dan masih mengamalkan adat serta budaya Melayu.

“Mengikut sejarah, buruh Melayu dibawa ke pulau terbabit sejak 1812 mengikut keperluan British untuk bekerja dalam sektor peladangan, penternakan, menjadi penyelam bagi mencari mutiara serta lain-lain pekerjaan.

“Kebanyakan buruh Melayu yang dibawa ke pulau terbabit berasal dari Melaka, Singapura, Johor, Sabah dan Sarawak yang ketika itu berada di bawah jajahan British, sama seperti Australia,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mohd Jamil berkata, kedudukan Pulau Krismas yang berhampiran dengan kepulauan Melayu mendorong British membawa masuk buruh Melayu ini ke pulau terbabit.

Beliau berkata, buruh terbabit kemudian menetap di pulau berkenaan dan membina komuniti sendiri bersama masyarakat peribumi di pulau itu.

“Kebanyakan komuniti Melayu yang menetap di Pulau Krismas adalah buruh yang dibawa dari Malaysia manakala buruh dari Indonesia menetap di Pulau Cocos.

“Komuniti orang Melayu yang menetap di Australia sangat ramai, bukan saja di Perth, Pulau Cocos dan Pulau Krismas, malah di Sydney serta Melbourne,” katanya.

Pulau Krismas adalah pulau dalam wilayah Australia terletak di Lautan Hindi, 2,360 kilometer (km) di barat daya Perth dan 500 kilometer dari selatan Jakarta, Indonesia.

Disiarkan pada: April 6, 2016 @ 10:19am
d