mutakhir

Siti nak rehat, Tina Turner masih ligat!

Oleh Adam Salleh

Sabtu lalu, Datuk Siti Nurhaliza beraksi dalam konsert istimewanya di Stadium Negara. Melalui kenyataan pihak pengurusannya di laman sosial, Siti mahu berehat panjang. Peminat juga diminta agar tidak mencalonkan Siti dalam mana-mana anugerah selama tempoh dia berehat. Artis lain kalau berehat panjang jawabnya tidak berasaplah dapur. Apatah lagi dalam situasi ekonomi negara yang pasang surut ini, ada artis yang kais pagi, belum tentu boleh makan tengah hari. Untungnya insan seni bernama Siti Nurhaliza, dia dah kaya meliana bolehlah tidur lena.

Untuk berehat, bolehlah diterima sebab Siti pun manusia biasa. Alasannya mahu tumpu pada keluarga cuma usahlah terlalu lama. Sebabnya sejak masyarakat kita kenal mana satu pelakon, mana satu pula penyanyi tidak pernah pula kita mendengar artis mahu berehat lama.

Era seniman dan seniwati di Shaw Brothers dan Cathay Keris Filem di Singapura, jika ada artis nak berehat panjang, pasti ‘tauke’ sarankan supaya balik kampung saja. Allahyarham Tan Sri P Ramlee sendiri tiada istilah berehat selama beliau memerah keringat di bidang seni sehinggalah kematiannya. Di akhir usia pun P Ramlee sibuk dengan Pawagam P Ramlee dan mahu mengarahkan filem Airmata Kuala Lumpur.

Kita maklum P Ramlee dan Siti Nurhaliza, dua insan seni dari era berbeza. Bagaimanapun populariti kedua-duanya tidak jauh berbeza kerana selain dilakar media, sokongan padu peminat yang tidak berbelah bagi meletakkan kedua-dua penggiat seni ini pada kelasnya tersendiri.

Lalu semacam tidak kena jika peminat diminta untuk menyisihkan Siti dalam apa bentuk anugerah. Penyanyi ada hak, peminat pun ada hak. Samalah seperti wakil rakyat dan rakyat masing-masing mempunyai hak. Jika di arena sukan, Siti Nurhaliza ini persis Datuk Lee Chong Wei, peminat badminton tempatan masih menagih keringatnya, begitulah dengan Siti yang statusnya sebagai diva tidak boleh ditandingi artis lain.

Di kala Siti mahu berehat panjang pada usianya 37 tahun, aneh pula penyanyi Tina Turner yang sudah menjangkau 76 tahun, masih ligat menari dan menyanyi. Dua penyanyi hebat mempunyai kelompok peminat tersendiri, tetapi semangat yang berbeza sebagai penyanyi sejati.

Tina yang berasal dari Tennessee, Amerika Syarikat pernah beraksi dalam konsertnya di Kuala Lumpur pada 1987, tidak salah jika kita berkira-kira suatu hari kelak Siti yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini pula menjayakan konsert istimewa di Amerika Syarikat.

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam, siapa tahu suatu hari kelak Siti berduet, tidak pun beraksi di pentas sama dengan Tina Turner yang sudah berstatus ‘nyai’ itu. Dalam tempoh Siti berehat panjang bagaimana pula strategi pihak pengurusan untuk melebarkan ‘sayap’ Siti?

Ini pun satu persoalan, sebabnya selepas Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends tempoh hari, majoriti wartawan memuji persembahan Siti selari dengan jolokannya sebagai penyanyi nombor satu negara. Pujian kian membuak-buak dengan kehadiran pemuzik yang ‘diterbangkan’ khas dari New York. Semacam satu penyakit segelintir orang kita asal pemuzik luar dilabel maha hebat walhal dalam negara bersepah.

Kehadiran lebih 5,000 penonton di stadium yang boleh memuatkan 25,000 pengunjung itu belum cukup berbaloi mengukur kejayaan. Sedangkan Sheila Majid pernah menjayakan konsert di Stadium Merdeka anjuran Roslan Aziz Production dihadiri lebih 25,000 pengunjung.

Di kala kerjaya seni Siti sudah mencecah 20 tahun selepas menjuarai Bintang HMI 1995, kembara seninya sewajarnya sudah semarak lebih global bukan sekadar di Singapura, Indonesia dan Brunei. Di sinilah pentingnya pihak pengurusan merangka strategi pemasaran baru buat Siti.

Dalam hal ini, pengurusan Shila Amzah lebih bersistematik mencari alternatif baru dengan menjadikan China sasaran. Kelebihan Shila berbahasa Mandarin, membolehkannya menjadi satu-satunya penyanyi Melayu bertudung dapat menambat peminat China.

Cuma daripada segi jalinan keharmonian perhubungan antara artis dan wartawan, pengurusan Siti lebih bijak dan berhemah berbanding pihak Shila. Berbaki tiga tahun sebelum mencecah 40 tahun, ia umpama ‘masa kecederaan’ buat pengurusan Siti untuk merealisasikan nama Siti Nurhaliza itu di pentas antarabangsa sebagaimana diimpikan Adam Kidron, atau nama itu kekal sebagai penghibur di nusantara Melayu ini.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Disiarkan pada: April 6, 2016 @ 3:18pm
d