mutakhir

Aplikasi umrah, haji percuma

Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM), bakal memperkenalkan satu aplikasi terbaru dikenali M-Umrah iaitu aplikasi mudah alih khususnya untuk panduan kepada jemaah haji dan umrah tidak lama lagi.

Aplikasi terbaru itu bakal dikomersialkan selepas mendapat persetujuan Tabung Haji (TH) mengenai aplikasi yang dibangunkan dan kini boleh dimuat naik secara percuma menerusi telefon pintar atau tablet.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, produk terbaru itu diperkenalkan kluster penyelidikan haji USM melalui Pusat Pengajian Sains Komputer, USM yang diguna pakai sebagai membimbing, membantu dan memudahkan ibadat.

Beliau berkata, setiap tahun, berjuta-juta orang Islam di Malaysia ke Makkah, namun segelintir daripada mereka tidak mempunyai pengetahuan secukupnya mengenai cara pelaksanaan haji dan umrah.

“Biarpun baru saja dibangunkan, aplikasi ini akan dibawa ke peringkat rundingan bersama pihak pengurusan TH untuk dibincangkan langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui semasa merasmikan Persidangan Serantau Haji (PSH)2016 di Hotel Gurney, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Omar Osman merangkap Ketua Penyelidik Program Haji, Pengerusi Program PSH, Profesor Dr Ahamad Tajudin Khader dan Kantor Agama Kota Bandung, Indonesia, Dr H Yusuf bersama 100 pegawai penyelidik.

Disiarkan pada: April 7, 2016 @ 7:59am
d