mutakhir

Siram tengah malam

Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Keadaan cuaca panas berpanjangan sejak dua bulan lalu memaksa pengusaha tanaman tebu, Wahid Abdul, 55, di Kampung Balik Bukit, Ayer Molek, di sini, menyiram tanamannya lewat malam.

Proses siraman perlu dilakukan bagi memastikan tanaman mendapat bekalan air yang cukup, selain mengelakkan tanah kering kontang.

Wahid yang juga peniaga air tebu menghabiskan masa hampir tiga jam bermula jam 10 malam setiap hari bagi memastikan lebih 150 rumpun tebu baru ditanam dua bulan lalu membesar.

Menurut Wahid, kerja menyiram dilakukan lewat malam atau awal pagi bagi mengelakkan air mudah tersejat, sekali gus mengekalkan kelembapan tanah lebih lama.

Katanya, akibat ketiadaan bekalan air di sekitar kebunnya, dia membawa sendiri tujuh baldi air diangkut menggunakan motosikal roda tiga miliknya dan berulang-alik enam kali mengambil air dari rumahnya sejauh satu kilometer (km).

“Kerja menyiram dilakukan selepas saya pulang berniaga di pasar malam saya tiada pilihan lain, lebih baik kepenatan daripada melihat rumpun tebu baharu disemai mati akibat tanah kering.

“Jika kemarau berpanjangan saya perlu melakukan proses sama untuk tempoh dua bulan lagi selepas itu pokok tebu terbabit tidak lagi memerlukan penjagaan kerap kerana mampu hidup sendiri,” katanya.

Katanya, bagi pokok besar yang berusia empat bulan dan ke atas tidak lagi memerlukan penjagaan atau disiram dengan kerap walaupun keadaan panas berpanjangan ketika ini.

Dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Balik Bukit berkata, walaupun cuaca panas tebu yang matang mampu bertahan, namun kandungan air yang dikeluarkan sedikit merosot.

“Walaupun air kurang rasanya tetap manis, saya perlu pastikan tebu di kebun seluas 0.4 hektar ini terus hidup bagi mengelakkan masalah kekurangan bekalan untuk menampung permintaan sepanjang Ramadan,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2016 @ 8:01am
d