mutakhir

Jangan beli tiruan

Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Siti Naimah Mohamad

Shah Alam: “Saya sedih kerana ramai pelanggan tertipu dengan tudung yang mereka beli, malah ada satu kes seorang pelanggan menemui saya dan menunjukkan tudung yang dipakainya itu adalah jenama Naelofar Hijab, namun selepas diteliti, ia didapati tiruan,” kata pelakon dan pengacara, Neelofa mengenai tindakan sesetengah pihak menciplak koleksi tudung jenama Naelofar Hijab.

Neelofa, 25, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, ramai pengguna tertipu dengan kualiti tudung tiruan yang dibeli sedangkan harga yang dijual hampir sama dengan tudung Naelofar Hijab.

Menurutnya, tindakannya melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa adalah kerana tidak mahu pembeli terus tertipu.

Neelofa turut mengingatkan pelanggan supaya sentiasa merujuk laman web naelofarhijab.com untuk membezakan antara produk tulen dan tiruan.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mahu membiarkan tindakan peniaga menciplak koleksi tudung jenama itu, namun apabila pembeli tudung itu kecewa selepas mendapati tudung dibeli adalah tiruan, barulah pihaknya mengambil tindakan.

“Ramai pelanggan memaklumkan kami mengenai perbezaan tudung yang dibeli dengan tudung kami sedangkan jenamanya sama.

“Justeru, kami melakukan siasatan dalaman sebelum mendapati memang wujud tudung tiruan yang menggunakan jenama Naelofar Hijab,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penguat kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub.

Neelofa berkata, pihaknya sudah memberi amaran dua kali melalui peguamnya kepada pihak tidak bertanggungjawab itu, namun mereka masih melakukan penjualan barangan tiruan berkenaan.

Berikutan itu, katanya, pihaknya membuat aduan kepada KPDNKK mengenai perkara terbabit dan selepas ini tidak teragak-agak mengambil tindakan sivil terhadap pihak berkenaan.

Menurutnya, tudung jenama Naelofar Hijab itu dikeluarkan di dua kilang mereka di Shah Alam dan Cheras, bukannya diimport dari Vietnam seperti mana tersebar.

Disiarkan pada: April 7, 2016 @ 9:00am
d