mutakhir

Laksana VEP fasa dua

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Putrajaya: Pelaksanaan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) fasa dua bakal diperkenalkan di pintu sempadan Malaysia- Thailand dalam masa terdekat bagi mengatasi isu teksi haram Thailand.

Sistem VEP itu bakal dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di pintu sempadan Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah JPJ Malaysia Datuk Seri Ismail Ahmad sebagai langkah proaktif penyelesaian jangka panjang.

Menurutnya, VEP fasa pertama akan dilaksanakan di pintu sempadan Singapura-Johor Bahru mulai Jun depan, sekali gus beliau yakin dapat mengurangkan kemasukan kereta klon ke negara ini.

“Bagi fasa kedua, kami akan melaksanakan VEP di semua pintu sempadan Malaysia-Thailand dan ia diyakini akan mengekang kemasukan teksi haram Thailand menggunakan van ke negara ini.

“Pada fasa ketiga pula, VEP akan dilaksanakan di pintu sempadan Malaysia di kawasan Sarawak dan Sabah yang bersempadan dengan Brunei, Indonesia dan Filipina,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, pelaksanaan VEP ini akan membantu JPJ dan agensi penguatkuasaan lain dalam pelbagai aspek kawalan serta pencegahan.

“Namun saya yakin anggota sindiket akan mengkaji kekurangan sistem berkenaan (VEP) untuk meloloskan diri.

“Sama seperti pemandu van haram ini, meskipun tindakan penguatkuasaan dijalankan selalu, namun pemandu terbabit sudah ‘khatam’ dengan laluan di negara ini dan bijak menggunakan lorong tikus bagi mengelak ditahan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan VEP kelak secara tidak langsung memberi impak positif kepada industri teksi dan kereta sewa tempatan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membentuk peraturan baru dan prosedur operasi standard (SOP) sesuai dengan pelaksanaan sistem baru itu nanti.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas termasuk menerima saman juga perlu menyelesaikan saman mereka sebelum dibenarkan keluar dari negara ini.

Disiarkan pada: April 8, 2016 @ 9:39am
d