mutakhir

Inovasi pacu kecemerlangan

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching : Kesukaran pelajar memahami dan mengingati perbezaan tindak balas kimia mendorong guru kimia, Jennie Lau Ik Fei dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, di sini, mencipta ‘Alchemist Memory Set’ untuk membantu pelajar.

Alchemist Memory Set yang dihasilkan Jennie ini pernah memenangi anugerah inovatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan digunakan sejak 2012 bagi membantu pelajar memahami mata pelajaran Kimia.

Jennie berkata, set permainan yang diperkenalkan bertujuan mengajak pelajar belajar dalam kaedah yang menyeronokkan dan berkesan.

Menurutnya, setiap kotak Alchemist Memory Set disertai panduan cara menggunakannya serta jawapan.

“Saya terfikir untuk menghasilkan set permainan ini apabila melihat kesukaran pelajar untuk memahami dan mengingati terma tertentu dalam kimia.

“Pada 2008, saya mula menghasilkan kad ini sebagai bantuan pengajaran dan pembelajaran. Melihat kepada keberkesanan kaedah ini, saya melakukan penambahbaikan menggunakan kertas lebih berkualiti.

“Kaedah pengajaran menggunakan set ini ternyata berkesan apabila keputusan mata pelajaran Kimia, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah ini meningkat,” katanya.

Jennie berkata, inovasi itu dapat membantu menghubungkait dan mengaplikasi tindak balas kimia sebatian karbon dalam tempoh dua hingga lima minit.

Katanya, sebagai alat pengajaran dan pembelajaran yang mesra pengguna, guru kimia dapat mengatasi kekangan masa pengajaran dalam kelas kerana ia boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Inovasi ini dapat mengukuhkan teknik inkuiri penemuan individu atau kumpulan, sekali gus meningkatkan minat dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

“Pelajar bukan saja mengingati setiap terma dan bermain, tetapi bersaing dengan pelajar lain dalam suasana yang menyeronokkan,” katanya.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelajar dan sekolah menggunakan set ini, Jennie ada menganjurkan pertandingan Alchemist Memory Set di peringkat sekolah dan zon pada 2012.

Beliau berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan menerima penyertaan daripada banyak sekolah.

“Pada tahun ini, sekali lagi kami akan menganjurkan pertandingan yang sama di peringkat sekolah pada Jun dan Julai untuk peringkat zon.

“Melalui pertandingan ini, dapat memperluaskan penggunaan Alchemist Memory Set. Ketika ini, kami sedang mencari penaja untuk menganjurkan pertandingan pada Jun dan Julai nanti,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2016 @ 10:03am
d