mutakhir

Sikap positif

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “ Dayana kini lebih selesa apabila dibawa bersiar-siar berbanding sebelum ini dan kami yakin ia memudahkannya ketika berurusan dengan doktor bagi menjalani pembedahan kelak,” kata ibu kanak-kanak istimewa yang dilahirkan tanpa hidung, Lina Awang, 36, kelmarin.

Lina berkata, berbanding sebelum ini, Nurdayana Mohd Zaini, 5, tidak mudah mesra dengan individu tidak dikenalinya dan hanya selesa bersama keluarga, jiran dan saudara-mara.

Dia berharap perubahan Nurdayana memudahkannya ketika menjalani pembedahan pembentukan tulang muka dan hidung pada masa depan.

“Ketika ini doktor perlu meneliti beberapa perkara, selain keluarga juga perlu menguruskan diri Nurdayana sebelum pembedahan dilakukan.

“Alhamdullilah, kesihatan Dayana juga dalam keadaan baik dan kami masih dalam proses akhir perbincangan berkaitan tarikh dan kos pembedahan,” katanya ditemui pada Program Token of Love We Love Charity di wad pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi We Love Charity, Marziana Abd Rashid, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru, Khairun Ahmad dan Pengurus Operasi Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru, Muhammad Thareq.

Marziana berkata, program berkenaan bertujuan menceriakan pesakit membabitkan kanak-kanak yang menjalani rawatan di situ.

Menurutnya, ia juga bertujuan memupuk sikap penyayang, menyemai perasaan belas kasihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

“Antara pengisian program berkenaan adalah penampilan badut, pengagihan makanan dalam bungkusan kepada pesakit serta keluarga mereka mulai jam 11 pagi hingga 1 tengah hari.

“Ia disertai 32 ahli persatuan kami selain tetamu istimewa kami iaitu Nurdayana dan ibunya,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, akhbar ini melaporkan perkembangan usaha anak ketiga daripada empat adik-beradik itu untuk menjalani pembedahan.

Disiarkan pada: April 8, 2016 @ 10:06am
d