mutakhir

Rokok bertaburan atas jalan

Jempol: Pada awalnya ia hanya membabitkan kemalangan dua lori menyebabkan salah satu daripadanya terbalik dan terbakar di Kilometer 15, Jalan Bahau-Keratong, semalam.

Polis kemudian menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5 pagi lalu bergegas ke lokasi sebelum menemui beberapa kotak besar mengandungi rokok diseludup bertaburan atas jalan.

Kemalangan membabitkan lori tangki sarat muatan simen dengan lori lima tan yang membawa 36,000 kotak rokok jenama John dianggarkan bernilai RM108,000.

Sebaik kemalangan, pemandu lori lima tan berusia 34 tahun yang membawa rokok seludup dibawa ke Hospital Jempol oleh orang awam tetapi melarikan diri sebaik menerima rawatan kerana takut ditahan pihak berkuasa berikutan aktiviti penyeludupan dilakukannya terbongkar.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati lori lima tan dari Keratong menuju ke Bahau dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan lalu memasuki laluan dan bertembung lori tangki.

Katanya, lori tangki kemudian terbabas sebelum memasuki gaung sedalam enam meter dan terbakar manakala lori lima tan terbalik menyebabkan rokok seludup bertaburan.

“Bahagian kiri lori terbabit tercabut menyebabkan kotak besar mengandungi rokok seludup bertaburan atas jalan raya.

“Bagaimanapun, pemandu lori tangki, Rahim Ahmad, 45, hanya cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

“Rahim memberitahu, dia sempat keluar daripada kenderaannya sebelum lori dipandu terbakar.

“Maklumat diterima mengatakan pemandu lori membawa rokok seludup dihantar orang awam ke hospital terbabit tetapi menghilangkan diri sebaik selesai menerima rawatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, semalam.

Noorzainy berkata, berikutan itu, polis sedang mengesan pemandu lori membawa rokok dikenali sebagai Ng Boon Hui, 34, dari Taman Mewah, Layang-Layang, Johor dan memintanya tampil bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: April 9, 2016 @ 9:31am
d