mutakhir

'Rayuan' terakhir hapus sumpahan [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Kelana Jaya: Peluang bekas pemain bola sepak era 1994 dan 1995 yang dikenakan hukuman penggantungan selepas terbabit dalam skandal rasuah dalam Liga Malaysia ketika itu menunjukkan tanda positif selepas mereka membuat ‘rayuan’ terakhir dengan menyerahkan memorandum kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Perkara itu dinyatakan sendiri, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang akan membawa perkara berkenaan ke Mesyuarat Exco Tertinggi FAM dalam waktu terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Beliau berkata, FAM akan meneliti memorandum yang diserahkan bekas pemain bola sepak kebangsaan Abdul Malek Abdul Rahman sebelum tindakan lanjut.

“Sebelum ini, kita sudah memberikan 50 peratus pengampunan kepada pemain yang dikenakan hukuman penggantungan dengan membenarkan mereka terbabit dalam sukan bola sepak di peringkat negeri saja.

“Saya akan bawa perkara ini ke jawatankuasa intergriti dan selepas dibincang semua akan dibawa ke Mesyuarat Exco Tertinggi FAM kerana saya tidak boleh membuat keputusan sendiri,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Hamidin berkata, keputusan mengenai nasib 85 pemain berkenaan akan diketahui selewatnya Mei depan.

Sementara itu, Abdul Malek berkata, memorandum berkenaan adalah antara jalan terakhir bekas pemain membuat rayuan supaya ‘sumpahan’ yang dikenakan terhadap mereka boleh dihapuskan.

“Antara isi kandungan memorandum adalah membenarkan kami terbabit secara langsung dalam bola sepak di bawah kendalian FAM tanpa sekatan.

“Saya sudah mengumpul 62 tandatangan pemain yang mahu hukuman penggantungan dikenakan ke atas mereka sejak 20 tahun dihapuskan segera,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Abdul Malek yang juga bekas kapten Selangor bersama peminat bola sepak negara menghantar memorandum kepada Hamidin bagi menghapuskan hukuman penggantungan terhadap bekas pemain pada era 1994 dan 1995.

Sebelum itu, Harian Metro melaporkan keperitan dan kesengsaraan tidak dibenarkan menjadi pemain atau pegawai pasukan anjuran FAM walaupun hukuman berkenaan sudah berlanjutan lebih 20 tahun lalu.

Disiarkan pada: April 9, 2016 @ 9:59am
d