mutakhir

Bukti di bil

Oleh Shamsul Munir Safini dan Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Aktiviti songsang dan seks di dua pusat hiburan di Jalan Transfer dan Penang Road di sini lumpuh selepas diserbu polis daripada Skuad Taktikal Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, jam 11 pagi malam tadi.

Dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 64 wanita dan 11 pondan warga asing berusia 19 hingga 38 tahun yang dijadikan wanita pelayan (GRO) atau hamba seks di premis yang sentiasa menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong asing.

Sumber berkata, modus operandi pusat hiburan berkenaan ialah mengarahkan wanita ini mencari pelanggan dan menawarkan diri menjadi teman berhibur di premis berkenaan.

“Sejurus berhibur, mereka menawarkan perkhidmatan seks dan perlu berurusan dengan ‘mummy’ bagi tujuan itu.

“Kami mengesan kesalahan itu melalui bil di premis berkenaan yang ada unsur eksploitasi terhadap wanita warga asing ini,” katanya.

Semua 64 wanita warga asing, 33 (Vietnam) di premis hiburan Jalan Trasfer serta 29 (Thailand), 1 (Ukraine) dan 1 (Uzbekistan) di Penang Road itu dipercayai dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial dan bekerja sebagai GRO di dua premis berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Sumber berkata, 11 pondan Thailand yang ditahan di Penang Road itu pula bekerja sebagai GRO atau pelayan kepada pelanggan songsang di premis itu.

Susulan daripada serbuan itu, polis menahan tiga wanita termasuk seorang warga asing dan 11 lelaki termasuk seorang warga asing yang menjadi penjaga kepada 64 wanita serta 11 pondan warga asing berkenaan.

Selain itu, 117 pengunjung diperiksa dan dua daripada mereka yang melanggan GRO ini ditahan bagi diambil keterangan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan serbuan berkenaan.

Warga tempatan yang menjadi penjaga warga asing berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998, Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Manakala 33 wanita Vietnam yang ditahan di Jalan Transfer disiasat mengikut Seksyen 44 ATIPSOM 2007 manakala selebihnya mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: April 10, 2016 @ 5:09am
d