mutakhir

Pendaki tertua berlatih di Gunung Nangkar Shang

Latihan di trek pendakian di Gunung Nangkar Shang, Dingboche pada ketinggian 4,800 meter dari paras laut menjadi tumpuan utama pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, 68, ketika ini.

Latihan itu penting sebelum beliau yang dalam misi ‘Lions Mount Everest Expedition 2016’ (MEE) meneruskan ekspedisi ke Kem Induk Everest (EBC) yang terletak pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut.

Lee berkata, latihan itu penting bagi membolehkan seseorang pendaki menyesuaikan diri ketika berada di tempat tinggi.

“Apabila kita berada di tempat tinggi, tekanan udara semakin rendah menyebabkan kesukaran bernafas.

“Oksigen di kawasan tinggi juga semakin nipis dan membuatkan seseorang itu cepat berasa letih,” katanya kepada BERNAMA yang mengikuti ekspedisi berkenaan.

Lee berkata, sekiranya latihan trek itu tidak dibuat, seseorang pendaki mudah merasa pening dan kemungkinan untuk diserang ‘acute mountain sickness’ adalah tinggi.

“Namun, dengan latihan yang dijalankan, seseorang pendaki akan dapat menyesuaikan diri apabila berada di ketinggian 5,000 meter ke atas,” katanya.

Lee mempunyai pengalaman lebih 20 tahun mendaki gunung antaranya Gunung Kinabalu, Gunung Rinjani di Indonesia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Ama Dablam di Nepal.

Beliau memulakan impian menakluk Gunung Everest setinggi 8,848 meter sejak 31 Mac, dan dijangka mencapai misinya dalam masa 70 hari.

Disiarkan pada: April 10, 2016 @ 5:11am
d