mutakhir

Drama tak jadi

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Sanggup mereka cerita palsu kononnya diculik empat lelaki dan meminta wang tebusan sebanyak RM60,000 daripada ahli keluarga sendiri.

Itu dilakukan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dikatakan terdesak akibat perniagaan restoran dijalankan berdepan masalah kewangan.

Malah, lelaki itu turut menyamar sebagai penculik selain mengugut mahu membunuh ‘mangsa’ sekiranya ahli keluarga gagal membayar wang tebusan diminta.

Bagaimanapun suspek akhirnya ditahan polis jam 4.30 petang Khamis lalu ketika mengeluarkan wang di sebuah bank di Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kes itu mula dikesan selepas seorang pengurus syarikat swasta berusia 33 tahun menerima panggilan daripada suspek memaklumkan dia diculik empat lelaki jam 2.30 petang Khamis lalu.

“Mangsa mendakwa diculik di satu lokasi tidak diketahui ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Lelaki itu menghubungi saudaranya itu menggunakan telefon pintar sebelum turut menyamar sebagai penculik.

“Dia kemudian meminta wang tebusan sebanyak RM60,000 dan mengugut mahu membunuh ‘mangsa’ jika gagal memperoleh wang itu,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Menurutnya, suspek akhirnya bersetuju menerima wang tebusan sebanyak RM25,000 selepas berbincang menggunakan SMS.

“Saudara suspek kemudiannya memindahkan wang tebusan diminta jam 4 petang hari sama. Pihak polis kemudian berjaya mengesan suspek yang sedang mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 di sebuah bank di Kajang sebelum menahannya.

“Ketika ditahan, kami turut menemui wang tebusan itu bersama nombor giliran bank yang dijadikan bukti,” katanya.

Menurutnya, suspek yang disoal siasat mengaku mereka cerita diculik dan turut menyamar sebagai penculik untuk mendapatkan duit kerana mengalami masalah kewangan.

“Kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik. Bagaimanapun kita akan mendapatkan nasihat timbalan pendakwa raya sebelum pendakwaan dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2016 @ 5:13am
d