mutakhir

Pupuk perpaduan, sebar info

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan menyasarkan mewujudkan 70 lagi Komuniti 1Malaysia (K1M) termasuk di Putrajaya sebagai usaha memupuk nilai perpaduan dan menyebarkan maklumat agensi kerajaan kepada masyarakat setempat.

Pengarahnya, Mohd Taib Ubah berkata, pihaknya mahu ia lebih diperluaskan kerana K1M adalah landasan terbaik menggalakkan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat membabitkan pelbagai kaum di setiap komuniti.

Katanya, mereka juga mahu meningkatkan lagi pembabitan komuniti masyarakat India dan Cina supaya program itu mencapai objektifnya.

“Sudah tentu kita akan memperluaskan dan menambah lagi bilangan K1M ini di seluruh Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Sasaran adalah 70 K1M baharu menjelang akhir tahun ini.

“Ia landasan terbaik untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti dan kita juga fokus untuk meningkatkan lebih banyak pembabitkan komuniti kaum India dan Cina.

“Setakat ini, kita mempunyai sekitar lapan atau sembilan K1M di seluruh wilayah yang diwakili masyarakat India dan Cina,” katanya dakan Program Info Komuniti 1Malaysia (K1M) AU3 Setiawangsa, di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari. Hadir sama, Pengerusi K1M AU3 Setiawangsa, Abd Kadir Husin.

Program tahunan itu diadakan khusus bagi mendekatkan masyarakat setempat dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Pergigian) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Lebih 500 masyarakat setempat menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan sempena program terbabit termasuk pemeriksaan gigi, pertandingan lukisan, persembahan dikir barat serta penjualan buku oleh DBP.

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata, beliau mahu program seumpama itu bukan hanya dilakukan di sesetengah kawasan tetapi lebih menyeluruh bagi memastikan orang ramai di kawasan Parlimen Setiawangsa tidak ketinggalan untuk menerima maklumat daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, sehingga kini sebanyak tujuh K1M sudah diwujudkan dalam kawasan parlimen terbabit yang bergerak secara aktif.

“Saya harap bilangan K1M dalam kawasan parlimen ini akan bertambah kerana ia sangat penting untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama, ia juga menjadi kaedah promosi produk usahawan bagi setiap kawasan K1M,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2016 @ 8:35am
d