mutakhir

Tubuh pasukan khas

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau pengurusan tertinggi PROTON Holdings Bhd (PROTON) supaya mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Kewangan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, langkah itu bertujuan memastikan PROTON mampu pulih sepenuhnya dengan pinjaman mudah yang diberikan kerajaan.

Katanya, pasukan petugas itu bertanggungjawab memastikan peruntukan pinjaman mudah RM1.5 bilion yang diberikan menerusi dana awam akan digunakan berdasarkan syarat yang ditetapkan.

“Pasukan petugas ini akan memantau pelaksanaan syarat yang ditetapkan kerajaan untuk memastikan PROTON pulih dalam menghadapi isu dan saingan sengit daripada pembuat model kereta lain.

“Apabila kerajaan sediakan peruntukan daripada dana awam, pasti kena ada syarat dipatuhi kerana ini pinjaman mudah kerana kalau pergi bank mesti sukar dan faedah tinggi.

“Sebab itu ia perlu dipantau pelaksanaan program pemulihan dan pengstrukturannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Mohamad Hasnan Che Hussin.

Harian Metro kelmarin melaporkan kerajaan meluluskan permohonan PROTON untuk mendapatkan pinjaman mudah RM1.5 bilion dan sebahagian besar daripada pinjaman itu bagi membolehkan pengeluar kereta nasional berkenaan membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pasukan pemantau itu tidak akan terbabit dalam pengurusan PROTON.

“Pengurusan kita serahkan kepada syarikat kerana PROTON syarikat milik persendirian. Pasukan ini hanya akan memantau dan memastikan syarikat automotif negara itu mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2016 @ 9:00am
d