mutakhir

Reman wanita disambung 2 hari lagi [METROTV]

Oleh myMetro

Kota Bharu: Tahanan reman terhadap seorang wanita berusia 26 tahun susulan penemuan mayat bayi perempuan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, di sini Rabu lalu, dilanjutkan dua hari lagi, hingga hari ini.

Perintah lanjutan tahanan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Nor Faizah Abdullah di sini, semalam.

Sebelum ini, wanita dipercayai ibu kandung bayi malang berkenaan sudah ditahan reman empat hari bermula Rabu lalu ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Dia diperlukan untuk siasatan mengikut Seksyen 318, Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” katanya.

Harian Metro pada 8 April lalu melaporkan, seorang ibu tergamak membuang bayi perempuan yang baru dilahirkannya dalam semak dengan hanya berbalut baju sejuk sehingga insan kecil itu meninggal dunia kerana kehausan selama 12 jam.

Bayi malang itu yang cukup sifat ditinggalkan di tepi pagar Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa, di sini, pada Selasa lalu sebelum dua kakitangan klinik menemuinya pada jam 12.30 tengah hari, Rabu.

Susulan tindakan kejamnya, wanita yang berasal dari Bachok itu ditahan ketika mendapatkan rawatan lanjut di HRPZ II, di sini, jam 11.30 malam pada hari yang sama.

Disiarkan pada: April 11, 2016 @ 9:20am
d