mutakhir

Melancong sambil berubat

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Kepakaran dimiliki dalam bidang perubatan menjadi antara penyumbang utama kedatangan pelancong asing ke negara ini untuk sektor pelancongan perubatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, kepakaran dalam bidang kesihatan utama seperti sakit jantung dan kaedah persenyawaan invitro (IVF) menjadi antara tarikan pelancong dari luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan di negara ini.

Beliau berkata, hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan terbaik selain harga berpatutan menjadi tarikan buat pelancong luar khususnya dari Amerika Syarikat dan Eropah.

“Malaysia kini semakin mengorak langkah dalam bidang pelancongan perubatan kerana kepakaran perubatan yang dimiliki doktor negara ini selain menawarkan rawatan patuh syariah dengan ubat dan vaksin digunakan halal.

“Namun, kerajaan akan memantau perkembangan dalam bidang ini supaya tiada mana-mana pihak cuba menaikkan kos rawatan terlalu tinggi hingga membebankan pelancong yang mahu mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hospital Umra, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, katanya Selangor masih menjadi negeri yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi pada tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 3,500 kes dicatatkan dalam tempoh seminggu Januari lalu di seluruh negara sebelum menurun kepada 2,100 kes seminggu, baru-baru ini.

“Masyarakat di negara ini digesa untuk lebih peka membasmi tempat pembiakan aedes bagi memastikan ia tidak membiak seterusnya berlaku peningkatan kes denggi di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Umra Dr Mohamed Rafi Mohammed Feizal berkata, hospital yang beroperasi 24 jam itu menawarkan perkhidmatan pelbagai bidang kesihatan khususnya kepada penduduk di sekitar daerah ini.

Disiarkan pada: April 12, 2016 @ 7:12am
d