mutakhir

KJA-M bantu Aman Palestin

Oleh myMetro

Bangi: Penderitaan tujuh juta rakyat Syria menjadi pelarian di negara sendiri mendorong dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama membantu menyalurkan sumbangan.

Melalui memorandum persefahaman (MoU) itu, Kelab Jelajah Alpine-Malaysia (KJA-M) membantu Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) mengumpul dana projek Mendaki Untuk Keamanan-Air Untuk Syria pada setiap aktiviti pendakian dilakukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut berkata, pihaknya meletakkan sasaran RM200,000 dikumpul melalui projek berkenaan untuk membina lima telaga air bersih di kem pelarian di Syria.

“Kawasan tumpuan untuk pembinaan telaga bernilai AS$10,000 (RM38,845) setiap satu ini adalah di perkhemahan pelarian Palestin di Lubnan yang ketika ini menempatkan kira-kira 1.7 hingga dua juta pelarian Syria.

“Selain itu, kita juga berhasrat membina telaga air bersih ini di Syria iaitu di Damsyik untuk keperluan kira-kira 500,000 pelarian, terutamanya di dua kem pelarian di sana,” katanya pada majlis menandatangani MoU berkenaan, di sini, semalam.

Kepada orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan secara terus ke akaun Maybank Aman Palestin 562263010787.

Disiarkan pada: April 12, 2016 @ 7:14am
d