mutakhir

Santuni gelandangan

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Umpama wira yang tidak didendang, namun nama sukarelawan ini cukup dekat di hati golongan gelandangan, malah ada yang menyifatkan mereka ini kakak, adik serta ibu kepada mereka.

Itu yang boleh diungkapkan dalam bahasa mudah bahawa sukarelawan berkenaan sebenarnya bukan saja membantu, sebaliknya berkongsi kisah sedih gelandangan membabitkan 1,001 cerita kehidupan.

Sukarelawan Pertubuhan Menangani Masalah Sosial Malaysia (UNGGAS) ini tidak pernah meminta pengiktirafan memandangkan kerja kebajikan dilakukan mereka ikhlas untuk membantu golongan tidak bernasib baik seperti gelandangan di sekitar ibu kota.

Keberkesanan UNGGAS diakui Pengerusi Kluster Sosial Majlis Amal Islami (MAIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Masridzi Sat yang melihat kerja kebajikan tidak mudah dilakukan, tambahan pula dengan faktor kekangan sumber dana.

“Kerja kebajikan itu tidak menjanjikan wang ringgit, malah menuntut setiap sukarelawan untuk berkorban masa serta tenaga. Tetapi kerja kebajikan ini mempunyai tempat tersendiri di dalam Islam.

“Jelas, Islam meletakkan suatu tempat khusus bagi kerja kebajikan terutama individu yang menyantuni golongan gelandangan ini. Usaha mereka dalam mendepani masalah sosial perlu diberi perhatian khusus serta mendapat sokongan semua pihak,” katanya.

Masridzi berkata, golongan gelandangan ini perlu disantuni bagi mengelakkan wujud masalah sosial lain dan memuji usaha UNGGAS terhadap perjuangan itu biarpun berdepan pelbagai cabaran serta halangan.

Beliau berkata, bukan mudah menyediakan pek makanan antara 500 hingga 700 bungkusan setiap minggu semata-mata untuk mengelakkan golongan gelandangan ini kelaparan, malah lokasi pengagihan yang bermula di masjid juga berlandaskan tujuan dakwah.

“Ini bentuk dakwah secara tidak formal, sambil kita membantu golongan gelandangan ini, kita sebenarnya berdakwah kepada mereka. Pasti golongan gelandangan yang mengambil pek makanan itu mendirikan solat Subuh terlebih dulu sebelum mengambil pek makanan.

“Masyarakat perlu bersama-sama dalam kerja kebajikan ini dan tidak meletakkan terus di bahu NGO tertentu dan bersikap lepas tangan. Perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau yakin sukarelawan yang terbabit dalam kerja kebajikan ini sebenarnya tidak pernah meminta balasan daripada pihak tertentu kerana ini adalah sebahagian asam garam terbabit dalam usaha membantu orang lain.

Disiarkan pada: April 12, 2016 @ 9:03am
d