mutakhir

Seribu rahmat

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Seorang ibu tunggal berulang kali mengucapkan rasa terharu selain berterima kasih kepada Harian Metro kerana menyiarkan kesusahan hidup menimpa keluarganya sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak untuk menyalurkan bantuan.

Rusnani Hanafiah, 41, dari Kampung Badang, Jalan Felcra, di sini, berkata, mereka sekeluarga amat bersyukur apabila ramai yang datang memberi bantuan bagi meringankan beban berikutan kehidupan mereka terumbang-ambing kerana kesempitan hidup.

Menurutnya, mereka juga terpaksa tinggal seramai 15 orang dalam sebuah rumah yang sempit dan ada di antara anak yang remaja terpaksa tidur di dangau di luar rumah.

“Saya berterima kasih kepada Harian Metro yang menyiarkan kisah kesusahan hidup kami sehingga banyak pihak tampil membantu menghulurkan bantuan berbentuk barangan makanan dan keperluan lain.

“Malah, Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut datang melawat kami pada minggu lalu, sekali gus meluluskan peruntukan pembinaan sebuah rumah baru yang akan dilakukan tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kerana keprihatinan beliau kerana mahu kami anak-beranak dapat hidup dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan barangan makanan dan keperluan harian daripada Pasaraya Econsave Cawangan Sungai Petani, kelmarin.

Bantuan berbentuk barangan makanan dan keperluan harian disampaikan oleh Pengurus Operasi Econsave Sungai Petani, Zamzuri Mansor. Turut hadir, Pengurus cawangannya, Ahmad Izuddin Othman.

Zamzuri berkata, bantuan berkenaan adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan setiap tahun untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, seramai 12 keluarga sudah dibantu sepanjang tahun ini berdasarkan laporan akhbar Harian Metro.

Disiarkan pada: April 14, 2016 @ 7:30am
d