mutakhir

Perdaya lesen GDL

Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) percaya wujud sindiket menipu warga asing dengan menjual Lesen Pengangkutan Barang (GDL) kepada mereka.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, JPJ tidak pernah meluluskan atau mengeluarkan lesen GDL kepada mana-mana warga asing di negara ini.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, warga negara asing juga tidak layak memiliki lesen GDL kerana permohonan mendapatkan lesen itu hanya dibuka kepada warga tempatan.

“Jika warga asing mempunyai GDL, ia lesen palsu dikeluarkan sindiket menipu lesen berkenaan mendapat kelulusan JPJ. Ia juga dijual pada harga RM300 hingga RM500.

“Warga asing berkhidmat di negara ini secara sah dibenarkan memiliki kenderaan dan memandu menggunakan Lesen Memandu Kompeten (CDL) selepas melepasi syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu, warga asing secara automatik tidak boleh menjalankan sebarang perniagaan menggunakan kenderaan kerana tidak memiliki lesen GDL.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutupan Asas Kursus Asas Pembantu Penguatkuasa Gred N17 Siri 1/2016 di Akademi JPJ, Tiang Dua, di sini, semalam.

Pada majlis itu, 101 Pembantu Penguatkuasa Gred N17 membabitkan 72 lelaki dan 29 wanita menamatkan latihan selama dua bulan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Datuk Yusoff Ayob dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Arifin Che Mat.

Ismail berkata, JPJ boleh menyita dan mengeluarkan saman terhadap warga asing yang berniaga menggunakan kenderaan tanpa GDL selain boleh didakwa di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, beliau mengumumkan JPJ akan menggantikan 130 kenderaan sedia ada untuk melancarkan operasi jabatan itu termasuk mendapatkan sejumlah motosikal bagi kegunaan unit penguat kuasa.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya enam motosikal di setiap negeri untuk tindakan khas jika berlaku kecemasan. Setakat ini, unit motosikal hanya ditempatkan di JPJ Kuala Lumpur dan Selangor, diharap ia dapat diperluas ke negeri,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2016 @ 7:32am
d