mutakhir

Tak boleh bernafas

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu kombinasi ditekup dengan beg plastik yang diketatkan pada muka serta dada dihimpit menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais mati kerana tidak boleh bernafas.

Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 51, berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa, beliau berpendapat punca kematian Kevin berkemungkinan tinggi disebabkan kelemasan udara.

Dr Nurliza berkata, berdasarkan keadaan mangsa, kelemasan udara terjadi apabila Kevin gagal mendapatkan oksigen untuk terus hidup.

“Dalam keadaan ini, yang lebih bersesuaian adalah mangsa seperti ditekup beg plastik yang meliputi kepala serta diketatkan di muka yang mengakibatkan gangguan kemasukan oksigen dan si mati tidak boleh bernafas.

“Satu lagi yang sesuai akibat himpitan pada dada kanan dan sisi sangkar dada kanan yang menghalang sangkar dada melakukan pergerakan pernafasan,” katanya ketika menjawab pemeriksaan balas peguam bela Datuk N Sivananthan yang mewakili tertuduh pertama Kolonel Dr R Kunaseegaran, 53, pakar patologi tentera dalam perbicaraan hari keempat kes pembunuhan itu.

SIVANANTHAN: Jika seseorang itu mengalami serangan jantung, bolehkan berlaku kelemasan udara?

DR NURLIZA: Tidak. Kebiasaannya serangan jantung terjadi apabila berlaku pengurangan darah dan bukan oksigen.

SIVANANTHAN: Apa elemen secara semula jadi yang boleh menyebabkan kelemasan udara?

DR NURLIZA: Ia boleh berlaku disebabkan ada jangkitan bahagian atas kerongkong sehingga mengakibatkan radang dan tidak bernafas serta kebiasaannya terjadi kepada kanak-kanak.

SIVANANTHAN: Apabila kamu berkata punca kematian adalah kelemasan udara, apa yang dilakukan untuk menyokong perkara itu?

DR NURLIZA: Saya menggunakan penemuan positif dan negatif. Penemuan positif iaitu kesan pada bibir, dada kanan dan sisi dada kanan yang membentuk himpitan trauma tumpul manakala penemuan negatif dikecualikan sebab kematian lain seperti akibat trauma tajam, kesan tembakan, kesan pembakaran dan tiada kesan patah tulang rangka serta kesan pendarahan dalaman.

Sementara itu, Dr Nurliza tidak bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa penggunaan perkataan ‘kemungkinan tinggi’ kelemasan udara boleh menimbulkan keraguan dan persoalan mengenai sebab kematian Kevin.

SIVANANTHAN: Saya katakan pada kamu, jika kamu tahu 100 peratus sebab kematian mangsa, kamu tidak akan meletak perkataan ‘berkemungkinan tinggi’ kelemasan udara?

DR NURLIZA: Tidak setuju

SIVANANTHAN: Kenapa tidak cakap sebab kematian adalah kelemasan udara saja?

DR NURLIZA: Saya berpendapat tanda kelemasan udara tidak menyeluruh ditemui disebabkan mayat dalam keadaan proses pembusukan. Bagi saya ia ‘reasonable medical centainty’ (kepastian perubatan yang munasabah).

SIVANANTHAN: Kalau yakin dengan ‘medical certainty’ atau kepastian perubatan, kenapa tidak cakap kelemasan udara saja (tanpa meletakkan ‘berkemungkinan tinggi’)?

DR NURLIZA: Ini disebabkan tiada fakta perubatan mengatakan ia kelemasan udara.

Pada 27 Januari lalu, enam lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, S Nimalan, 23, dan Chandaran, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Kunaseegaran yang juga tertuduh pertama mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa yang mengikut Seksyen 109, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302, akta sama.

Kevin dilaporkan hilang 4 September tahun lalu. Beliau dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta, di sini, dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.

Mayatnya ditemui di dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini, pada 16 September tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini.

Disiarkan pada: April 14, 2016 @ 10:09am
d