mutakhir

Rumah lestari mesra remaja

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lima universiti tempatan bergabung kepakaran dalam bidang masing-masing untuk membangunkan penyelidikan mengenai model reka bentuk ruang dan perumahan kos rendah yang lestari dan mesra remaja.

Penyelidikan mengenai ‘Belia Komuniti Terpinggir: Ke Arah Pembangunan Belia Positif’ yang dijalankan sejak tiga tahun lalu kini sudah memasuki fasa terakhir penyelidikan dan dijangka tamat pada hujung tahun ini.

Penyelidik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohamad Fakri Zaky Jaafar berkata, universiti terbabit ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selain UPM dengan geran penyelidikan bernilai RM4.5 juta dibiayai Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata, penyelidikan berkenaan menumpukan kepada pengaruh persekitaran rumah dan ruang yang mempengaruhi pembesaran remaja serta sosialisasi.

Katanya, mengambil kira pelbagai bentuk interaksi peribadi, komuniti dan penjanaan ekonomi, hasil penyelidikan itu mendapati penyelesaian masalah kepada reka bentuk sedia ada yang terhad mempengaruhi pembesaran remaja.

“Remaja memerlukan ruang privasi yang penting bagi difahami selain kemudahan beriadah, bersosial dengan rakan sebaya dan mengekspresi diri serta ia perlu diterapkan dalam reka bentuk sesebuah perumahan.

“Kami sudah membuat model projek kediaman bagi 2,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi tanah seluas lapan hektar bagi menunjukkan kesesuaiannya terhadap remaja yang mempunyai kawasan riadah baik.

“Bagi rekaan hiasan dalaman pula dicadangkan penggunaan perabot pintar yang diolah bagi ruang dalaman terhad atau menggunakan konsep tri paksi (traxes) dalam memaksimumkan ruang,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohamad Fakri Zaky berkata, pada masa ini, situasi pasaran perumahan mungkin belum dapat menyesuaikan pembangunan perumahan dengan kehendak cadangan reka bentuk terbabit.

“Mungkin buat masa ini, pemain industri mempunyai banyak kekangan termasuk membabitkan kos, namun diharap pada masa depan kajian ini akan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Kajian penyelidikan itu turut dijalankan di rumah PPR Lembah Pantai, Kuala Lumpur bagi mengenal pasti masalah yang berlaku kepada remaja di situ.

Dianggarkan kira-kira 1.5 juta belia di negara ini berusia antara 15 dan 25 tahun berisiko terdedah dengan pengangguran dan mungkin terjebak dengan gejala sosial berikutan infrastruktur dan persekitaran rumah tidak sesuai.

Disiarkan pada: April 14, 2016 @ 10:12am
d