mutakhir

Kerah kudrat tarik lembu

Oleh myMetro

Georgetown: Hampir dua jam dengan kekuatan 10 kudrat lelaki dewasa diperlukan untuk menarik lembu betina yang terjatuh dalam sebuah longkang besar di Jalan Garuda, Bayan Lepas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, lembu terbabit terjatuh ketika meragut rumput di kawasan berkenaan dan secara kebetulan air pasang berlaku menyebabkan ia hampir lemas.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari penduduk yang kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Barat Daya selepas melihat paras air semakin naik.

Pegawai Operasi JPAM Barat Daya Noor Mohd Saidi Noor Lajis berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati lembu berkenaan berada dalam longkang besar terbabit.

“Lembu itu dilihat bergerak tanpa arah dalam air menyebabkan ia keletihan dan hampir lemas.

“Melihatkan keadaan itu, seorang anggota JPAM turun dalam longkang dan mengikat badan lembu itu menggunakan tali,” katanya.

Noor Mohd Saidi berkata, dua tali diikat pada badan lembu terbabit, namun haiwan berkenaan meronta-ronta menyebabkan usaha menaikkannya menjadi sukar.

“Dengan bantuan beberapa penduduk kampung, kami akhirnya berjaya menaikkan lembu berkenaan yang mengambil masa hampir dua jam.

“Lembu itu kemudian diserahkan kembali kepada pemiliknya yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2016 @ 10:43am
d