mutakhir

'Saya mahu dia pulih'

“Jika ada rawatan khusus, saya mahu dia dipulihkan.” Begitu luahan hati Asliza Omar, 34, ibu kepada kanak-kanak istimewa, Nurul Afida Batrisya Razi, 8, yang wajah dan tubuhnya dipenuhi bulu.

Bukan tidak reda dengan keadaan anak ketiganya itu tetapi Asliza bimbang jika tumbesaran kanak-kanak mesra disapa Fida itu terganggu disebabkan pandangan serong masyarakat.

Katanya, walaupun Fida sentiasa positif, ceria dan bersemangat kuat, naluri keibuannya tetap terguris apabila anak itu pulang ke rumah sambil menangis serta memberitahu ada orang mengejeknya.

“Saya sentiasa memberitahu dia supaya tabah dan tidak hiraukan kata-kata orang yang mempersoalkan fizikalnya terutama budak kampung yang menggelar dia Fida bulu.

“Setakat ini dia mendengar kata dan sentiasa menunjukkan wajah ceria selepas dipuji istimewa tapi saya tetap bimbang jika semakin membesar, Fida tewas dengan ejekan masyarakat.

“Sebab itulah jika ada rawatan khusus untuk memulihkan keadaannya, saya sanggup hantar asalkan tidak menjejaskan keadaan dia.

“Saya cuma tidak mahu emosi dia terganggu. Dia juga ada perasaan malu apabila orang melihatnya pelik,” katanya yang tetap menerima dan menyayangi anaknya itu walau dalam bentuk apa sekali pun.

Disiarkan pada: April 15, 2016 @ 7:38am
d