mutakhir

Anugerah bermakna

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: “Walaupun pernah memenangi anugerah terdahulu, ini anugerah paling bermakna kerana ia pengiktirafan tertinggi di kolej ini,” kata Haney Karmila Kaswadi, 17, yang menerima Anugerah Pendeta Za’aba, semalam.

Pelajar berasal dari Terengganu itu yang juga anak kepada seorang bekerja kampung manakala ibunya suri rumah berkata, anugerah berkenaan menjadi pembakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, dia terpaksa bersaing dengan pelajar lain di kolej itu untuk mendapatkan anugerah berkenaan kerana perlu memenuhi kriteria ditetapkan pengurusan.

“Antara kriteria itu termasuk memiliki ciri kepimpinan, tiada kesalahan disiplin, aktif dalam kegiatan luar bilik darjah serta banyak menyumbang kepada pembangunan dan menaikkan imej kolej.

“Saya banyak terbabit dalam aktiviti dan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama pelajar serta guru pembimbing terutama berkaitan dengan inovasi selain menjalankan pameran R&D bukan saja di peringkat sekolah, malah sehingga ke peringkat kebangsaan.

“Saya bersyukur kerana usaha dilakukan selama ini membuahkan hasil dan anugerah ini khas buat ibu bapa, rakan serta guru. Usaha gigih ini akan saya teruskan bagi mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Kolej Tunku Kurshiah 2016 (TKC 2016) yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Rosni Ab Jalil dan Pengetua TKC Hamizan A Hamid.

Mengenai projek R&D dijalankan, Haney Karmila berkata, dia bersama lima pelajar sedang menyiapkan projek ‘spixhaust’ iaitu sistem penyerapan karbon monoksida daripada kenderaan yang memberi kesan kepada alam sekitar.

“Projek ini belum siap sepenuhnya, namun pada ujian awal dilakukan baru-baru ini, ia terbukti berkesan dalam mengurangkan pencemaran udara daripada kenderaan.

“Saya harap projek ini dapat diselesaikan secepat mungkin untuk kegunaan orang ramai,” katanya yang berazam untuk mendapatkan 10A pada peperiksaan SPM.

Disiarkan pada: April 16, 2016 @ 4:51am
d