mutakhir

Sambung legasi ayah

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Dialog ‘buluh runcing satu!’ begitu sinonim dengan sebuah filem arahan Tan Sri P Ramlee iaitu Laksamana Do Re Mi untuk dijadikan senjata bagi membunuh menteri Pasola.

Namun, tidak ramai yang tahu seorang penduduk di sini, menjadikan buluh runcing sebagai sumber rezeki sehingga mampu meraih pulangan sehingga RM2,000 sebulan.

Bakhtiar Abu Bakar, 45, berkata, buluh runcing diusahakan keluarganya sejak tiga generasi selama 40 tahun lalu sehingga kini masih mendapat sambutan untuk pelbagai tujuan.

“Oleh kerana mendapat sambutan, saya berhenti kerja di salah sebuah kelab golf di Johor Bahru dan kembali ke kampung pada 2008 bagi mengusahakan perniagaan buluh runcing ini.

“Saya masih ingat ayah dan ibu membesarkan saya hasil pendapatan menjual buluh runcing,” katanya ketika ditemui di Kampung Terusan, di sini, baru-baru ini.

Kata Bakhtiar, dahulu terdapat enam keluarga menjalankan perusahaan buluh runcing tetapi disebabkan faktor usia serta keengganan generasi muda meneruskan tugas ini, ia berkubur begitu saja.

“Golongan muda lebih suka berhijrah ke bandar daripada menghasilkan buluh runcing sedangkan jika dilakukan dengan tekun, ia boleh memberi pulangan lumayan.

“Secara jujur, saya tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan memandangkan saya hanya bekerja sendirian dan semua pekerjaan menggunakan cara tradisional.

“Jika menggunakan peralatan moden, mungkin permintaan pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.

Katanya, perniagaan yang diwarisinya ini tidaklah memerlukan modal besar sebaliknya tenaga, parang dan kapak.

“Masalah sekarang adalah untuk mendapatkan bekalan buluh yang semakin berkurangan. Kadangkala saya terpaksa membeli daripada pembekal.

“Saiz buluh runcing dibuat mengikut permintaan pelanggan dan dalam sehari saya mampu menyiapkan 2,000 batang. Setiap ikat terdapat 200 batang dan dijual antara RM14 hingga RM20 mengikut saiz.

“Dalam sebulan saya mampu menyiapkan antara 40,000 hingga 50,000 batang buluh,” katanya.

Menurut Bakhtiar, buluh runcing ini sering mendapat permintaan daripada pelbagai syarikat dan persendirian bergantung kepada kegunaan mereka.

“Selalunya buluh runcing mendapat permintaan tinggi terutama sektor perladangan seperti Sime Darby, FELDA dan syarikat bagi tujuan membuat pancang untuk tanam semula pokok getah dan kelapa sawit.

“Dalam sektor pertanian, ia digunakan untuk membuat ‘pancang’ sayur-sayuran seperti cili, kacang panjang dan sebagainya. Tidak kurang juga daripada masyarakat Cina untuk membuat tanglung dan peralatan sembahyang,” katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2016 @ 5:04am
d