mutakhir

Promosi Miri

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt diyakini mampu mempromosikan bandar raya kepada pengunjung luar terutama pelancong tempatan.

Datuk Bandar Miri Lawrence Lai berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengalu-alukan penganjuran konsert itu kerana percaya ia boleh menjadi tarikan kepada pengunjung luar ke bandar raya itu.

Menurutnya, MBM berbesar hati dengan kesudian Harian Metro menjadikan Miri sebagai destinasi konsert, tambahan pula promosi besar-besaran di akhbar ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana memilih Miri sebagai lokasi pertama di Sarawak bagi siri jelajah konsert yang seterusnya berlangsung di Kuching.

“Diharapkan, penganjuran program ini dapat menaikkan nama Miri yang juga satu bahagian di utara Sarawak,” katanya.

Katanya, orang ramai di bandar raya ini harus turun bersama-sama memeriahkan konsert itu hari ini.

“Saya difahamkan Harian Metro turut mengadakan banyak aktiviti menarik dianjurkan pada petang sebelum konsert berlangsung.

“Jadi, mereka yang berkelapangan boleh hadir ke Miri City Fan kerana ada artis popular membuat persembahan buat warga Miri,” katanya.

Acara turut dijayakan bersama rakan penaja Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, air mineral semula jadi Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan Kumpulan AmBank.

Disiarkan pada: April 16, 2016 @ 5:49am
d