mutakhir

Sedia 112 tangki, 20 lori

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan 112 tangki statik dan 20 lori tangki di tiga daerah di Pahang yang mengalami gangguan bekalan kesan daripada cuaca panas ketika ini.

Sehingga semalam, seramai 7,109 pemilik akaun di Lipis, Pekan dan Temerloh terjejas.

Lipis mencatat rekod tertinggi pengguna terjejas dengan 6,149 pemilik akaun, diikuti Pekan (500) dan Temerloh (460).

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat PAIP Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, pihaknya menyediakan 75 tangki air statik dan 10 lori tangki di Lipis.

“Sebanyak 27 tangki statik dan tujuh lori tangki disediakan di Pekan manakala 10 tangki serta tiga lori tangki di Temerloh,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, punca gangguan di Lipis disebabkan paras air Sungai Jelai yang terjejas sejak cuaca panas melanda negeri ini menyebabkan loji air di Jelai serta Batu 9 Lipis tidak dapat beroperasi pada tahap maksimum.

“Kawasan terjejas teruk ialah seluruh Lipis ke Terenggun, Jeram Bungor, Kampung Batu 10, Benta dan di lokasi tinggi dalam bandar Kuala Lipis,” katanya.

Nurul Farhana berkata, di Pekan, masalah gangguan air berlaku di FELDA Chini 1, 2, 3, 4 dan 5 dan FELDA Chini Timur 1 dan 2.

Selain itu, kawasan penempatan Orang Asli sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Gumum dan SK Chini Timur juga mengalami gangguan bekalan.

“Kawasan Temerloh turut terbabit gangguan bekalan air berikutan Loji Air Lubuk Kawah tidak dapat beroperasi dengan baik akibat paras air Sungai Pahang yang surut.

“Gangguan ini membabitkan 460 pengguna di Bandar Mentakab, Lanchang dan bandar Temerloh,” katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2016 @ 5:11am
d