mutakhir

Manfaat 50%+20%

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Lebih 1,000 peminjam dana pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memohon untuk melangsaikan pembayaran balik secara sekali gus selepas berita gembira mengenai pemberian diskaun sebanyak 50 peratus serta tambahan 20 peratus diumumkan.

Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad berkata, pengumuman diskaun berkenaan dibuat pada 25 Mac lalu manakala, tambahan 20 peratus pada 7 April baru-baru ini sempena ulang tahun ke-50 MARA.

Menurutnya, diskaun itu memberi manfaat kepada 171,000 peminjam dan mereka boleh membayar balik pinjaman itu sehingga 31 Disember ini.

“Sebagai contoh, pelajar membuat pinjaman RM10,000 pada 2010 dan sebelumnya, mereka berhak mendapat diskaun 50 peratus apabila hanya perlu bayar RM5,000.

“Kemudian, diskaun tambahan 20 peratus diberikan dan peminjam hanya perlu bayar RM4,000, tetapi dengan syarat mereka perlu membayarnya sekali gus,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata demikian pada Konvokesyen Perdana Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan MARA-Japan Industrial Institute (MJII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sebelum ini, Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, MARA mengumumkan pelajar yang membuat pinjaman sebelum tahun 2010 diberi diskaun 50 peratus bagi menyelesaikan baki pinjaman mereka.

Tambahan 20 peratus turut diumumkan bagi melangsaikan baki tertunggak secara sekali gus dalam tempoh setahun kepada peminjam terbabit.

Selain itu, diskaun 50 peratus turut diberikan kepada peminjam dana pendidikan MARA yang gagal menghabiskan pengajian berikutan pelbagai sebab.

Pada masa sama, Ibrahim berkata, diskaun yang diberikan kepada peminjam terbabit diharap dapat meningkatkan pembayaran balik pinjaman sehingga 50 peratus.

Katanya, pihaknya berharap peminjam terbabit mengambil peluang menerusi diskaun itu bagi melangsaikan hutang berkenaan.

Disiarkan pada: April 17, 2016 @ 5:12am
d