mutakhir

Kongsi 3 amalan

Oleh BERNAMA

Istanbul: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor semalam berkongsi tiga amalan penting bagi kawalan kanser di Malaysia dengan kalangan isteri ketua negara bersempena Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini.

Rosmah yang juga Penaung Program Permata berkata, di Malaysia, kanser adalah punca keempat kematian dengan 20,000 kes baharu didiagnosis setiap tahun, 55 peratus terdiri daripada golongan wanita.

“Pertama adalah pencegahan, seperti kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ yang lebih sesuai bagi hospital kanak-kanak kerana usaha menggalakkan gaya hidup sihat perlu bermula dari peringkat awal,” kata beliau pada sesi khas Kepimpinan Wanita Pertama mengenai Kawalan Kanser di negara OIC bersempena Sidang Kemuncak OIC Ke-13, di sini.

Beliau berkata, pusat kesihatan awam akan meningkatkan pendidikan mengenai amalan diet yang betul, senaman, mengekalkan berat badan yang sesuai, menghindari rokok, alkohol dan penggunaan dadah.

Ia turut menggalakkan pelalian Hepatitis B dan papilomavirus manusia atau HPV untuk mengelakkan kanser hati dan serviks.

Rosmah berkata, di bawah program kesihatan sekolah lebih 1.3 juta pelajar perempuan berusia 13 tahun telah mendapat pelalian HPV, dengan kadar penerimaan 98.2 peratus pada 2015.

“Kedua ialah penggunaan sel stem dan perubatan genomik untuk kaedah rawatan peribadi. Ia kini mungkin menyediakan penjagaan yang tepat mengikut ciri-ciri, keperluan dan pilihan individu,” katanya.

Rosmah berkata, sel kanser juga boleh dicirikan dan disasarkan secara tepat dengan perencat tertentu tanpa merosakkan sel-sel normal.

Beliau berkata, perubatan peribadi dan ketepatan ini akan memastikan pesakit mendapat rawatan yang betul pada masa yang tepat, dengan tindak balas yang betul dan kos yang berpatutan.

“Pada masa ini rawatan kanser sama ada diberi percuma atau hanya dikenakan sebahagian kecil daripada kos sebenar di hospital kerajaan,” katanya.

Rosmah berkata, ketiga adalah pendekatan pemulihan bersepadu iaitu kaedah perubatan konvensional yang dilengkapi dengan terapi untuk meningkatkan kualiti kehidupan seharian dengan melepaskan kesan fizikal dan emosi negatif akibat kanser.

Pakar kehidupan kanak-kanak, sukarelawan terlatih, kumpulan sokongan, badut terapeutik dan haiwan kesayangan bersama-sama keluarga, katanya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk bermain, bersosial, berkongsi perasaan dan keseronokan melalui aktiviti kreatif dalam suasana hormat-menghormati, kasih sayang dan kerjasama.

Disiarkan pada: April 17, 2016 @ 5:14am
d