mutakhir

Kukuh keselamatan serantau

Oleh Hamizah Badiran

Penganjuran Putrajaya Forum 2014 yang bertemakan Memperkukuhkan Keselamatan dan Kestabilan Serantau lalu membincangkan bagaimana melalui ASEAN, negara anggota dapat mengurangkan ancaman serantau kerana ASEAN menjadi platform penyelesaian konflik dan menjadi penghubung terhadap masalah keselamatan yang lebih luas di dunia.

Kini, memasuki kali keempat penganjurannya, Putrajaya Forum 2016 (PF2016) yang akan mula bersidang pada 18 hingga 19 April ini, bakal mengetengahkan soal Kerjasama Serantau Dalam Menangani Cabaran-Cabaran Keselamatan sebagai tema.

Forum kelolaan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) itu memperlihatkan keprihatinan Malaysia terhadap isu-isu yang membabitkan keselamatan dan keamanan serantau serta keupayaan kepemimpinan negara menangani hal berkenaan.

Selain itu, ia turut menyaksikan sokongan Malaysia membangunkan kerjasama yang berteraskan kepercayaan dalam kalangan negara serantau dan luar rantau seterusnya dapat membantu perkembangan ke arah proses hubungan pelbagai hala yang lebih dinamik dan progresif.

Ketua Eksekutif MiDAS, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin (gambar) berkata, ancaman keselamatan tidak lagi datang daripada peperangan dan penjajahan semata-mata, sebaliknya wujud ancaman baru yang lebih berbahaya dan mampu mengganggu survival serta hayat manusia.

Contohnya, ancaman terhadap keselamatan negara kini menjadi semakin kompleks dengan kemunculan era globalisasi yang membawa bersamanya kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta fahaman liberalisasi.

“Sebagai institusi profesional yang membantu Kementerian Pertahanan menangani isu pertahanan dan keselamatan negara, MiDAS dilihat menepati keperluan semasa, khusus dalam merangka pelbagai strategi baru yang boleh dipraktikkan dalam bidang pertahanan serta keselamatan negara.

“Dan menerusi forum ini, kita menyediakan saluran tidak formal untuk peserta jemputan bertukar-tukar pendapat, mengumpul pandangan dan mempromosikan konsep keamanan sekali gus membantu mendalami isu-isu pertahanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa pada masa kini.

“PF2016 akan dihadiri menteri pertahanan, panglima perkhidmatan, pegawai tinggi pertahanan dan keselamatan dari negara yang mengambil bahagian seperti ASEAN, Asia dan Asia Pasifik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditubuhkan pada April 2010, MiDAS memikul tanggungjawab melaksanakan penyelidikan dan analisis polisi berkaitan pertahanan dan keselamatan negara, serantau serta global.

Selain itu, ia memainkan peranan aktif membantu kementerian menggubal strategi pertahanan serta keselamatan negara di samping berfungsi sebagai institusi strategik yang memberi cadangan dan hasil kajian bebas tanpa membabitkan pendirian mana-mana agensi atau badan kerajaan.

Diadakan di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur, forum itu turut menyaksikan sokongan Malaysia membangunkan kerjasama yang berteraskan kepercayaan dalam kalangan negara serantau dan luar rantau seterusnya dapat membantu perkembangan ke arah proses hubungan pelbagai hala yang lebih dinamik dan progresif.

Katanya, MiDAS adalah ahli di dalam Network of ASEAN Defence and Security Institutions (NADI) yang dibentuk pada 2007, selaras dengan pembentukan ASEAN Defences Minister’s Meeting (ADMM) bagi menyediakan ADMM dengan pelbagai input dan cadangan sesuai seiring perkembangan isu semasa ASEAN.

“Selain itu, menerusi PF2016, saya yakin MiDAS dapat menjayakan Lima Teras Kementerian Pertahanan tahun ini iaitu Kesiagaan, Keselamatan, Kebajikan, Diplomasi Pertahanan dan PLKN 2.0.

“Kita boleh menepati kesiagaan dari segi persiapan kelompok keselamatan yang sentiasa bersedia dengan keadaan semasa, mengenali musuh dan sebagainya.

“Kita juga akan memenuhi teras keselamatan sama ada di dalam negara, serantau atau luar rantau, kita mempunyai jaringan kuat di mana setiap ahli (negara) akan saling membantu,” katanya.

Tambahnya lagi, melalui PF2016 juga, pihaknya akan berjaya laksanakan teras diplomasi pertahanan apabila pengumpulan individu dalam latar belakang sama ini mampu membina rangkaian yang lebih luas.

Percambahan fikiran yang berlaku ketika sesi soal jawab dan perbincangan di antara mereka bersama ahli panel pula berupaya memberi input kepada agensi untuk membuat perancangan polisi pertahanan yang lebih baik.

PF2016 dibahagikan kepada tiga sesi di mana setiap sesi mempunyai tajuk perbincangan tersendiri yang dipilih khas bersesuaian dengan tema penganjurannya pada kali ini.

Antara speaker undangan ialah Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, Timbalan Menteri Pertahanan Turki, Suay Alpay; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Seri (Dr) Haji Zulkefli Mohd Zin dan Pegawai Pemerintah Pasifik Amerika Syarikat, Laksamana Harry B Harris Jr.

“Sementara itu, selaras dengan hasrat MiDAS untuk menjadi sebuah institusi pemikir dan pusat kecemerlangan terkemuka dalam bidang pertahanan dan keselamatan, kita akan meningkatkan kedudukan MiDAS agar dapat dijadikan sebagai tempat rujukan utama bidang berkaitan oleh agensi yang terbabit khasnya dan masyarakat amnya.

“Kita juga akan terus tampil dan bekerjasama rapat dengan agensi yang bersamaan agar dikenali di peringkat antarabangsa di samping meningkatkan lagi pembabitan kita dalam NADI,” kata Azizan.

Beliau berharap, masyarakat dapat lebih peka dan menjadikan budaya keselamatan sebagai agenda utama yang diterapkan dalam kehidupan seharian.

Disiarkan pada: April 17, 2016 @ 5:16am
d