mutakhir

Duit dalam ayam goreng

Oleh Shamsul Munir Safini dan Mohd Hilmi Mahmud

Georgetown: Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang yang lengkap bersenjata, menyerbu dan mengepung Balai Polis Ayer Itam, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, sepasukan anggota SPRM mengepung balai itu dalam usaha menahan lima anggota polis yang dipercayai terbabit dengan rasuah sejurus memperoleh maklumat daripada orang awam.

Difahamkan, dalam serbuan berkenaan, lima anggota polis yang terdiri daripada seorang lelaki berpangkat koperal, tiga lelaki berpangkat lans koperal dan seorang konstabel wanita ditahan selepas disyaki terbabit dengan rasuah.

Sumber berkata, ia susulan satu kejadian pada Jumaat lalu apabila lima anggota ronda cegah jenayah dari balai berkenaan menahan sebuah kereta yang dinaiki dua individu di Jalan Paya Terubong sebelum mendapati kenderaan itu dilaporkan dicuri di Setia Alam pada 2014.

“Pada keesokan harinya, seorang wanita dilapor membawa bungkusan ayam goreng yang dipercayai di dalamnya diletakkan sejumlah kecil wang tunai untuk menyogok anggota polis terbabit,” kata sumber di sini, semalam.

Sumber itu berkata, lima minit selepas wang berkenaan diserahkan, balai berkenaan diserbu sepasukan pegawai dan anggota SPRM sebelum mencekup kelima-lima mereka.

“Balai berkenaan diperiksa anggota SPRM sebelum mereka yang ditahan diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab mengesahkan penahanan lima anggota berkenaan dan berkata, siasatan dijalankan ke atas mereka.

“Lima anggota itu sudah ditahan SPRM dan mereka akan disiasat dalam masa yang terdekat. Sehingga kini, kita belum pasti lagi status kes berkenaan.

“Saya sudah dimaklumkan berkenaan penahanan anggota terbabit dan mereka juga difahamkan sudah dibebaskan,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2016 @ 9:42am
d