mutakhir

Ganti 'lain-lain' dengan Bangsa Malaysia

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Kerajaan digesa memperhalusi cadangan memansuhkan ruangan lain-lain dan digantikan kepada Bangsa Malaysia kepada semua etnik termasuk Sabah dalam usaha memupuk perpaduan dan integrasi nasional di negara ini.

Bekas Timbalan Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun tidak dilaksanakan dalam masa terdekat, cadangan itu dirasakan wajar khususnya dalam konteks pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, menerusinya masyarakat secara tidak langsung akan menganggap rakan-rakan etnik lain sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, sekali gus menimbulkan suasana lebih harmoni.

“Lain-lain ini lebih sesuai digunakan untuk bangsa asing dan kita sebagai rakyat Malaysia lebih sesuai diklasifikasikan sebagai bangsa Malaysia.

“Apa yang diputuskan kerajaan iaitu tiada lagi kategori lain-lain untuk Bumiputera Sarawak adalah langkah positif wajar disambut baik.

“Saya mengharapkan ia akan diperluaskan termasuk di Sabah kerana di sana juga terdapat banyak etnik. Kita boleh satukan dan ia akan memupuk perpaduan. Bagaimanapun, ia mungkin mengambil masa, tetapi ia permulaan yang sangat progresif,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin mengenai langkah kerajaan memansuhkan ruangan ‘lain-lain’ berkaitan bangsa dalam borang rasmi kerajaan.

Ia susulan cadangan diusulkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk tidak lagi mengklasifikasikan Bumiputera Sarawak sebagai lain-lain dalam apa saja borang rasmi kerajaan.

Lee berkata, sebelum ini, ruangan bangsa yang disediakan di dalam borang rasmi kerajaan banyak digunakan bangsa Melayu, Cina dan India saja, namun pada masa sama banyak etnik lain yang juga suku kaum lain di Malaysia.

“Cadangan serupa pernah disuarakan sebelum ini dan ia adalah permulaan yang baik. Mungkin jika ada kajian tertentu mengenai profil individu, barulah istilah lain-lain boleh digunakan untuk menentukan bangsa secara spesifik,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2016 @ 9:45am
d