mutakhir

Bukan ancaman

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Tindakan penceramah terkenal India, Dr Zakir Naik mengislamkan beberapa individu pada siri ceramahnya bukan ancaman kepada agama lain serta masih tertakluk dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berpendapat fenomena dicetuskan oleh penceramah terbabit membuktikan toleransi beragama di negara ini masih utuh.

Katanya, setiap orang juga bebas mengamalkan agama masing-masing tanpa diganggu dan kemungkinan salah tanggapan timbul akibat segelintir pihak tidak meneliti syarahan beliau dan hanya berdasarkan maklumat orang ketiga.

“Islam agama rasmi Malaysia dan kedudukannya lebih tinggi daripada agama lain. Ini berbalik kepada sejarah mengenai agama Islam, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu yang dipersetujui dalam Perlembagaan.

“Dalam kes Dr Zakir Naik datang berceramah ke negara ini, kadangkala mungkin berlaku salah faham kerana pihak tertentu tidak datang sendiri mendengar syarahannya dan hanya mendengar daripada orang ketiga. Ceramahnya dari dulu pada pandangan saya masih dalam keadaan ‘sihat’ dan bukan menghina agama lain,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau yang juga pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mengulas kesan ceramah Dr Zakir Naik yang turut berupaya mengislamkan beberapa individu bukan Islam secara langsung.

Menurutnya, Perlembagaan menyatakan orang Islam boleh berdakwah kepada bukan Islam dan sebaliknya bukan Islam tidak boleh menyeru individu Muslim menganut agamanya.

“Ia (tindakan) masih dalam kerangka dihalalkan oleh Perlembagaan negara. Beliau bersyarah untuk orang Islam dan bukan bertujuan mengislamkan orang bukan Islam.

“Apabila orang bukan Islam hendak dengar ceramah beliau, tidak ada masalah. Begitu juga ada disiarkan di televisyen mengenai agama lain dan jika ada orang Islam dengar atau tonton tidak ada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, beliau berpendapat fenomena Dr Zakir Naik ini hanya bersifat sementara.

“Beliau cepat popular dan apabila sudah lama, orang mungkin jemu dan mahu dengar penceramah yang lain pula.

“Ia sama seperti keadaan dihadapi penceramah dalam negara kerana masyarakat suka kepelbagaian,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2016 @ 10:03am
d