mutakhir

45 hari tiada hujan

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang dilaporkan daerah paling terjejas teruk akibat cuaca panas selepas tidak menerima taburan hujan sejak 45 hari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Datuk Che Gayah Ismail berkata, ini diikuti daerah Manjung, Gua Musang dan Hulu Terengganu yang tidak menerima hujan sejak 19 hari sejak 30 Mac lalu.

“Tiga daerah masing-masing di Perak, Kelantan dan Terengganu itu mencatatkan antara kawasan terjejas selepas tidak menerima hujan.

“Selain tiga daerah berkenaan, Kota Bharu dan Gua Musang turut terjejas selepas 14 hari tidak menerima hujan manakala Langkawi, Alor Setar dan Kuala Muda selama 12 hari,” katanya.

Menurutnya, Batu Embun di Jerantut, Pahang pula mencatatkan suhu maksimum iaitu 38.4 darjah Celsius setakat semalam diikuti Felda Chuping, Perlis pula 37.6 darjah Celsius.

Che Gayah berkata, lima kawasan mencatatkan gelombang haba tahap dua iaitu suhu maksimum melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

“Antara kawasan berkenaan ialah Bentong (Pahang), Hulu Perak (Perak), Kulim dan Sik (Kedah) serta Arau (Perlis) dilaporkan mengalami gelombang haba tahap dua.

“Selain itu, 26 kawasan lain berada pada tahap satu iaitu berjaga-jaga iaitu empat di Kedah, Perak (5), Pahang (2), Kelantan (5); Negeri Sembilan (2); Johor (3); Kedah (4) manakala masing-masing satu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka,” katanya.

Che Gayah berkata, fenomena El Nino bukan lagi asing bagi masyarakat negara ini, malah mengikut rekod dilaporkan pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951-1952 dan kejadian paling teruk ialah pada 1997-1998 dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Sebelum ini, MetMalaysia bekerjasama dengan Tentera Udara Malaysia (TUDM) menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) untuk menangani cuaca panas dan krisis air membabitkan kawasan Empangan Timah Tasoh di Perlis, Empangan Pedu, Muda dan Beris di Kedah serta Empangan Bukit Merah di Perak.

Disiarkan pada: April 18, 2016 @ 10:06am
d