mutakhir

Nasib keluarga 'reban ayam' terbela

Balik Pulau: Nasib Suzana Mansor, suami dan dua anaknya yang tinggal dalam reban ayam di kebun di Kampung Sungai Pinang, di sini, kini terbela apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat meluluskan permohonan bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan sejak awal bulan ini.

Suzana, 35, berkata, dia bersyukur di atas bantuan diberikan oleh semua pihak termasuk individu dan syarikat yang datang melawatnya serta membantu keluarganya.

“Sejak berita mengenai keluarga terpapar di akhbar Harian Metro pada 1 April lalu, ramai individu dan wakil syarikat memberikan bantuan kepada kami.

“Bantuan itu sudah tentu bermakna untuk saya dan keluarga meneruskan kehidupan kami dan saya berterima kasih kepada yang membantu,” katanya ketika menerima kunjungan wakil Pasaraya Econsave, semalam.

Suzana berkata, dia berharap ada pihak membantu keluarganya mendapatkan sumber air bersih untuk kegunaan harian kerana ketika ini, dia serta suami, Othman Darus, 45, masih mengangkut air dari rumah ibunya yang terletak 300 meter dari rumahnya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave Zon Utara Zamzuri Mansor berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat awal berkenaan keluarga Suzana melalui Harian Metro dan mengambil keputusan untuk membantu keluarga terbabit.

“Saya dan beberapa kakitangan Econsave mengambil inisiatif membantu keluarga Suzana dengan memberikan barangan keperluan termasuk air bersih, tilam, bantal dan barangan keperluan asas.

“Kami menggunakan dana prihatin Econsave untuk membantu keluarga Suzana dan hari ini (semalam), kami memperuntukkan barang keperluan bernilai RM,1000 untuk keluarganya,” katanya.

Pada 1 April lalu, akhbar ini melaporkan mengenai pasangan berkenaan serta dua anak kecil berusia lima bulan dan tiga tahun yang terpaksa tinggal di ruangan bersambung dengan reban ayam di dalam kebun di Kampung Sungai Pinang sejak lima bulan lalu.

Asalnya ia hanya reban ayam sebelum pasangan Suzana dan Othman membaiki reban berkenaan dan membina satu ruangan lain bagi membolehkan mereka empat beranak berteduh di situ selepas diusir dari rumah sewa.

Disiarkan pada: April 19, 2016 @ 7:28am
d